Friday, May 27, 2011

Bab 2: Bermula Sebuah Wangsa

Wangsa Dharmakusuma. Wangsa raja berketurunan hebat, namun kini telah kehilangan takhta warisan selama dua abad. Memiliki zuriat gemilang yang setanding dengan mana-mana wangsa raja lain di Rantau Tenggara. Mereka menelusur salasilah mereka hingga ke Putera Nayaka dan Raja Buddha Gupta, dua raja negeri Chi Tu zaman silam, Bhaga Datta raja agung Persekutuan Langkasuka Adhi Negara, Rama Unibha raja Kedah Negara, seterusnya Wan Sri Mara panglima agung Funan yang akhirnya menaiki takhta menjadi raja agungnya.

Salasilah mereka juga melanjut kepada Yazdegerd I, seorang raja Parsi zaman Wangsa Sassan, melalui seorang putera baginda bernama Ardavaz. Anak muda itu, seorang perantau juga pahlawan, bertemu dengan Putera Buddha Gupta dari Bhanggala semasa kunjungan mereka ke Pulau Singhala, seterusnya ikut belayar bersamanya ke bumi Langkasuka di sebuah semenanjung bernama Semenanjung Emas. 

Yazdegerd I itu pula turun zuriatnya daripada Khosrau Anushirvan, seterusnya daripada Ardeshir Shah, pendiri Wangsa Sassan, yang salasilahnya melanjut kepada Khouroush Agung, pendiri Wangsa Hakhamanesh. Khouroush itu pula dikatakan bernasab daripada Raja Kambhujiya, seorang raja pahlawan masa silam daripada kalangan kaum Kambhoja Aryani yang mendiami wilayah barat pergunungan Himalaya.

Manakala Raja Buddha Gupta itu pula terbit zuriatnya daripada Samudra Gupta, raja terhebat daripada Wangsa Gupta, seterusnya Ashoka Maurya dan Chandra Gupta Maurya daripada Wangsa Maurya.

Di antara Buddha Gupta dan Ardavaz menjadi sahabat akrab, seterusnya belayar bersama dari Pulau Singhala menghala ke timur hingga sampai ke Semenanjung Emas. Mereka mulanya mendarat di Kedah Negara, kemudian meneruskan pengembaraan ke Patani Seri Negara. Dua negeri itu ketika itu diperintah oleh seorang raja besar sebagai sebuah negeri bersekutu bernama Langkasuka Adhi Negara. Tempat bersemayamnya ketika itu terletak di timur, di sebuah tempat bernama Bukit Sang Kalili, di Kota Patani.

Raja itu, Bhaga Datta namanya, bersalasilah daripada Rama Unibha, seorang raja negeri Kedah Negara di zaman sebelumnya. Maka Rama Unibha itu pula, di sebelah bundanya, berketurunan daripada Wan Sri Mara, Panglima Agung negeri Funan yang menakluki sebuah wilayah di Segenting Emas, yang dirajainya seketika dengan diberi nama negeri Phan Phan, mengambil sempena nama raja negeri Funan ketika itu, iaitu Huen Phan Phan.

Dipendekkan cerita, Wan Sri Mara mengahwini seorang puteri kepada raja wilayah yang ditaklukinya itu, sebagai permaisuri kedua, lalu beroleh seorang puteri. Manakala Wan Sri Mara sendiri akhirnya kembali ke Funan dan menaiki takhta menjadi raja Funan yang baru apabila rajanya yang lama, Huen Phan Phan, berundur diri untuk memasuki alam pertapaan.

Daripada jurai zuriat puteri itulah munculnya kerabat diraja yang mewarisi negeri Phan Phan, berpusat di sebuah kota tepian pantai bernama Kota Cahaya. Dan daripada jurai zuriatnya jugalah kesudahannya lahir Putera Rama Unibha yang kemudiannya ditabal menjadi raja Kedah Negara. Negeri Phan Phan itu terkemudian darinya bertukar nama menjadi Phan Thani, yang bermaksud Kota Phan. Akhirnya, negeri Phan Thani itu beransur disebut orang tempatan sebagai Patani, dengan nama rasminya Patani Seri Negara.

§
Di setiap tempat yang disinggahi Buddha Gupta agak lama, dia membina sebuah perkampungan biara yang dinamakannya ‘Raktam Rttika’, yang bererti ‘Bumi Merah’, mengambil sempena sebuah perkampungan biara yang pernah dinaunginya semasa di Bhanggala. Maka dengan demikian, terdirilah dua perkampungan biara yang sama namanya, iaitu Raktam Rttika atau Bumi Merah, yang satu di Kedah Negara, yang satu lagi di Patani Seri Negara, di sebuah tempat bernama Badalung, berhampiran Singgora.

Atas dorongan Raja Agung Bhaga Datta, Buddha Gupta dan Ardavaz kemudiannya meneruskan lagi pelayaran mereka kearah selatan, kali ini menyusur pantai timur Segenting Emas. Lalu akhirnya mereka mendarat di sebuah pelabuhan kuala bernama Tumpat, di wilayah timur laut Semenanjung Emas. Mereka seterusnya mudik ke hulu dan akhirnya menetap di sebuah perkampungan di sekitar kawasan hulu sungai yang besar itu, yang bernama Bukit Panau.

Di situ dia kesudahannya bertemu jodoh dengan Mawar Sekembang Murni, anak gadis seorang panglima tempatan, Panglima Awang namanya, yang pernah pernah berkhidmat dengan bala tentera Patani Seri Negara di zaman ayahanda kepada Raja Agung Bhaga Datta. Manakala Ardavaz pula akhirnya berkahwin dengan Anggerik Semarak Ayu, anak gadis Panglima Awang yang kedua.

Dengan restu Raja Agung Bhaga Datta, Buddha Gupta dan Ardavaz membantu mertua mereka Panglima Awang membina sebuah negeri baru yang juga dinamakan oleh Buddha Gupta sebagai Raktam Rttika atau Bumi Merah. Negeri Raktam Rttika yang berpusat di Bukit Panau itu seterusnya berkembang mekar menjadi sebuah negeri berdagang yang aman makmur, disinggahi oleh para saudagar dan pedagang dari setiap pelosok alam.

Kerana kebanyakan saudagar dan pedagang berkenaan banyak berurusan dengan Negeri China, negeri Raktam Rttika atau Bumi Merah yang berpangkalan di Bukit Panau itu lama kelamaan menjadi lebih dikenali ramai dengan nama terjemahannya dalam bahasa Cina, iaitu Chi Tu.

Raja Buddha Gupta memerintah sebagai seorang dharmaraja, iaiatu raja yang bersandarkan kepada keadilan sebagai tonggak utama pemerintahannya. Tidak sebagai seorang devaraja, yang lazimnya menegakkan kuasanya dengan kebengisan dan kekerasan semata-mata. Begitupun, negeri Chi Tu tetap memiliki sebuah bala tentera yang bersepadan kekuatannya dengan keluasan wilayah negerinya, demi membela dan melindungi kesejahteraan rakyat jelata.

Ardavaz akhirnya dilantik menjadi Panglima Agung bala tentera Raja Buddha Gupta di Chi Tu, dan hubungan rapat di antara kedua mereka berterusan hingga ke zaman cucu cicit mereka.

Seorang zuriat Ardavaz, Panglima Esfandiyar, kerana keberanian dan keperwiraannya di medan perang, dianugerahkan gelaran Dharmakusuma, yang membawa maksud Bunga Dharma ataupun Kebanggaan Negeri, oleh Raja Nayaka, seorang zuriat Buddha Gupta. Esfandiyar kemudiannya mengahwini Puteri Anoushka, puteri sulung Nayaka.

Gelaran Dharmakusuma itu seterusnya diangkat oleh Esfandiyar menjadi nama keluarganya, dengan restu mertuanya Raja Nayaka. Esfandiyar Dharmakusuma akhirnya ditabal menjadi raja negeri Chi Tu, selepas kemangkatan Nayaka, yang tidak mempunyai sebarang putera, apabila Puteri Anoushka sendiri menolak permintaan para pembesar supaya naik takhta sebagai ratu memerintah. Alasannya, Chi Tu ketika itu mengadapi pelbagai ancaman sengit dari luar dan dalam, maka ia memerlukan seorang raja lelaki yang waja hati dan gagah berani untuk mempertahan utuh negeri.

Demikianlah pusingan peristiwa yang membuat Panglima Esfandiyar, pendiri Wangsa Dharmakusuma, menaiki takhta negeri Chi Tu. Raja Esfandiyar memperbesar lagi istana lama yang pertama kali dibina bersama oleh Raja Buddha Gupta dan Panglima Ardavaz. Maka istana yang baru itu diberi nama Mahligai Dharmakusuma.

Selang beberapa lama kemudiannya, Chi Tu beransur bertukar nama menjadi Kolaan Thana Amdan Nagara. Nama Kolaan Thana itu bermakna Tanah Kolaan, mengambil sempena banyaknya kolaan, disebut juga kolaam, iaitu lukisan lantai indah anggun dibuat daripada tepung beras beraneka warna dalam lingkungan bulat, yang ada terlukis di setiap rumah puja yang terdapat berselerak di serata negeri di zaman itu. Manakala Amdan Nagara itu membawa maksud Kota Gagah Berani, memperingati sejarahnya yang sering diserang penceroboh asing silih berganti, maka musuh-musuh pasti ditentang hebat setiap kali oleh pejuang pembela yang tidak sedikitpun kenal erti takut atau gentar di medan perang.

Setelah beberapa lama Kolaan Thana Amdan Nagara pun beransur-ansur disebut mengikut pelat penduduk tempatan sebagai Kelantan Amdan Negara. Manakala sungai besar yang melalui negeri itu, bermula dari tempat bertemunya Sungai Galas dan Sungai Lebir di Krai, membawa gabungan air daripada puluhan sungai kecil dan anak sungai dari kawasan gunung hingga ke Kuala Besar di Tumpat, dulunya dipanggil Sungai Galas keseluruhannya hingga ke muara, kini dipanggil orang Sungai Kelantan.

§
Hampir dua abad selepas zaman Raja Esfandiyar dan Permaisuri Anoushka, Wangsa Dharmakusuma telah kehilangan takhta negeri mereka, Amdan Negara. Wilayah utara Semenanjung Emas diserang dan ditakluk oleh bala tentera gabungan dua kerajaan dari seberang, iaitu Kerajaan Palembang Srivijaya pimpinan Raja Dharmasethu, dan Kerajaan Sailendra pimpinan Maharaja Sang Rama Dhanan Jaya, yang juga bergelar Maharaja Vishnu. Dua raja itu saling berbesan, dengan Putera Samara Gravira, putera kepada Sang Rama Dhanan Jaya, mengahwini Puteri Dewi Tara, puteri kepada Dharmasethu.

Serangan dan penaklukan besar-besaran itu bertumpu di wilayah paling utara, di kota Tambra Lingga, iaitu ibu negeri kepada Negara Seri Dharmaraja, dan beransur-ansur merebak ke selatan. Pada peringkat awalnya, raja-raja tempatan dipujuk dengan kata-kata manis kononya serangan Srivijaya-Sailendra sekadar bertujuan membebaskan negeri-negeri dalam Persekutuan Langkasuka daripada belenggu pertuanan Kerajaan Khmer Chenla. Namun setelah bala tentera Khmer Chenla yang datang membela dikalahkan dan diusir, bala tentera Srivijaya-Sailendra enggan berundur, dan raja-raja tempatan diturunkan takhta dan dilantik semula menjadi sekadar Pembesar Negeri yang dipaksa mengakui dan menerima pertuanan Srivijaya-Sailendra.

Dharmasethu merajai Kedah Negara, sementara Sang Rama Dhanan Jaya memerintah Negara Seri Dharmaraja dan Patani Seri Negara. Manakala Putera Samara Gravira yang masih muda perkasa itu diberi percaya untuk mentadbir Amdan Negara, Terengganu Primula Negara, Pahang Indera Pura dan Gelanggi Ayu.

Dua puluh lima tahun kemudian, Bala Putra Deva, putera kepada Maharaja Samara Gravira, mendapati dirinya pula kehilangan takhta Sailendra yang dijanjikan kepadanya selepas giliran kakandanya, Samara Thungga. Takhta itu dirampas oleh menantu Samara Thungga, Rakai Pikatan namanya, putera kepada raja negeri Mataram yang berjiran sekaligus berkerabat, berikutan kemangkatan Samara Thungga.

Bala Putra cuba menentang perampas takhta Sailendra itu, namun dia kecundang kepada bala tentera Rakai Pikatan di Dataran Tinggi Ratu Baka. Maka demikian berkuburnya sejarah kerajaan Sailendra di Pulau Jawa, sungguh singkat hayatnya ibarat lilin dalam tiupan angin.

Begitupun, zuriat Wangsa Sailendra terus mandiri di Pulau Sumatra. Setelah berundur ke Palembang, Bala Putra Deva ditabal menjadi maharaja kerajaan Palembang Srivijaya selepas kemangkatan nendanya di sebelah ibu, iaitu Raja Dharmasethu. Antara usahanya untuk mengawal jajahan takluk Srivijaya-Sailendra di Semenanjung Emas, Bala Putra Deva mengahwini puteri Pembesar di dua buah negeri, iaitu Gelanggi Ayu dan Negara Seri Dharmaraja. Puteri negeri Gelanggi Ayu menjadi permaisuri kedua manakala puteri negeri Negara Seri Dharmaraja sebagai permaisuri ketiga.

Manakala negeri Gangga Negara yang sehingga itu mampu menangkis ancaman Palembang Srivijaya akhirnya diserang dan dikalahkan juga oleh Bala Putra Deva, dan seorang puteri rajanya juga dikahwini oleh Bala Putra Deva.

Maka setiap seorang puteranya daripada tiga perkahwinan itu akhirnya dilantik menjadi raja negeri yang berkenaan setelah mencapai usia dewasa. Lalu dengan itu, kerajaan Gelanggi Ayu, Negara Seri Dharmaraja serta Gangga Negara terus mandiri, walaupun sebagai negeri jajahan yang tunduk kepada pertuanan Palembang Srivijaya. Bagi negeri-negeri lain pula, pada peringkat awalnya Bala Putra Deva cuba mengetengahkan kaum kerabatnya dari Palembang sebagai Pembesar Negeri yang ditugaskan untuk mentadbir negeri bagi pihak Palembang.

Namun usaha itu akhirnya menemui kegagalan, kerana menerima tentangan demi tentangan tanpa henti oleh rakyat jelata. Kesudahannya, Bala Putra Deva terpaksa akur dengan kenyataan bahawa rakyat negeri-negeri lain dalam Persekutuan Langkasuka Adhi Negara akan hanya menerima Pembesar Negeri daripada kalangan kerabat raja mereka yang asal.

Akhirnya, akibat perebutan kuasa dan perbalahan sesama sendiri, negeri-negeri itu beransur roboh, hancur berkecai berpecah-belah menjadi wilayah-wilayah kecil yang masing-masing diketuai oleh seorang panglima atau pembesar. Sungguhpun Pembesar Negeri yang dilantik Bala Putra Deva masih agak berpengaruh di wilayah mereka sendiri. Demikianlah halnya juga dengan Amdan Negara, yang berpecah daripada sebuah negeri bersatu di bawah seorang raja menjadi tujuh belas buah wilayah kecil, masing-masing diketuai oleh seorang panglimanya sendiri.

§
Namun pewaris Wangsa Dharmakusuma tetap menaruh harapan bahawa suatu hari nanti mereka akan dapat membangunkan kembali kerajaan Amdan Negara yang telah tumbang sekian lama. Sehingga ke zaman Putera Adhi Vira, keluarga Dharmakusuma terpaksa hidup memencil diri di kawasan pergunungan di wilayah hulu, supaya jauh dari ancaman musuh-musuh yang telah merampas dan mendiami istana warisan keluarga di Bukit Panau, iaitu Mahligai Dharmakusuma, selama berabad-abad.

Maka mereka mendiami kawasan lereng bukit berhampiran gugusan tujuh gunung, paling hampir sekali Gunung Sembatu, sebuah gunung batu kapur yang amat besar dan tinggi bagai menjulang langit di Banjaran Titiwangsa, berhampiran sebuah daerah bernama Jelawang, di kawasan hulu Sungai Galas. Maka dalam gugusan gunung itu tersergam pula Gunung Ayam yang tertinggi di kalangan semuanya, Gunung Tera, Gunung Saji, Gunung Koh, Gunung Baha, Gunung Birut dan Gunung Tahir.

Diam juga di kawasan itu pelbagai haiwan hutan. Gajah, harimau, beruang, seladang serta bermacam unggas dan mergastua lain, semuanya ada. Lalu gunung-gunung itu memberikan tempat berundur dan berlindung yang amat sesuai, kerana sukar didatangi oleh pihak musuh kiranya mereka muncul hendak menyerang dan menceroboh.

Maka para sahabat yang datang berkunjung boleh mengambil jalan darat ataupun mengikuti laluan sungai. Jika datang melalui darat mereka singgah di Dabong, lalu menyeberangi Sungai Galas, kemudian berjalan kaki atau menonggang haiwan hingga ke Jelawang. Jika berperahu, mereka boleh bermula dari Kuala Besar berhampiran Tumpat, lalu berdayung mudik ke hulu terus hingga ke Jelawang.

Bersama pengikut-pengikut setia mereka, berjiranan dengan masyarakat orang Pangan dan Semang yang mendiami kawasan bersekitar, keluarga Dharmakusuma hidup dengan aman sentosa. Mereka berpadi huma, bercucuk tanam, berternak haiwan serta menangkap ikan di sungai dan tasik. Hidup mereka tersisih jauh dari masyarakat luar. Namun, suasana pergunungan yang damai dengan cuaca yang dingin dan udara yang nyaman tetap memberi ketenangan.

Suasana yang dilengkapi dengan Air Terjun Jelawang, turunan air tujuh aras yang seolah-olah turun mencurah tinggi berdesir-desir dari langit, jelas mencipta kehidupan yang cukup ceria bahagia. Bari orang tua-tua di situ pula mengatakan kononnya dipuncaknya adalah tempat sang dewa-dewi bersiram, maka airnya yang dingin murni itu terisi dengan kesaktian, jika sering bermandi dengannya serta dibuat air minum nescaya memberi khasiat amat hebat.

§        §        §

No comments:

Post a Comment