Friday, May 27, 2011

Bab 14: Pesona Merdeka

PESONA MERDEKA
Bersama berjuang, bertempur, berperang
Memerah tenaga, menyabung nyawa
Kerana ... pertiwi
Bangkitlah ... pribumi

Menentang, menghadang, musuh yang menjajah
Sehingga tersingkir mereka yang menjarah
Kerana ... pertiwi
Bangkitlah ... pribumi

Sedarlah aduhai putera mandala
Bumi bertuah kita pewarisnya
Tuntutlah ... merdeka
Idamlah ... sejahtera

Amdan Negara negeri perwira
Kesatria mulia nan gagah perkasa
Tuntutlah ... merdeka
Idamlah ... sejahtera

Pesona merdeka ... biarlah membara
Selama-lamanya ... hingga akhir masa

Pesona merdeka ... biarlah membara
Selama-lamanya ... hingga akhir masa

980 Masihi, Gunung Sembatu, di kawasan hulu Lembah Sungai Galas, di bumi yang bernama Amdan Negara.
Adhi Vira membawa lebihan hasil padi humanya dengan pedati lembu dari Gunung Sembatu, melalui Jelawang, untuk dijual di pasar pekan Dabong. Dia ditemani dua orang pekerja mudanya, Utih dan Uda, yang hampir mencecah usia dua puluh. Sedang mereka berehat seketika sambil menikmati juadah ubi kayu bakar berserta kelapa parut, dengan air kopi pekat manis yang begitu menyegarkan, seorang anak muda menghampiri mereka. Anak muda itu kelihatan seperti orang asing, dan tidak pernah mereka lihat sebelum itu. Umurnya sekitar beberapa tahun tua sedikit daripada Utih dan Uda, jangka Adhi Vira.

“Maaf, tuan bertiga. Hamba seorang perantau, baru tiba di Dabong beberapa hari.  Hamba lihat tadi, tuan bertiga muncul dari arah kawasan pergunungan. Mungkinkah tuan bertiga dari Jelawang?”

“Memang begitulah, tuan hamba rang muda. Siapakah gerangan tuan hamba ... dan mengapa tuan hamba bertanya?”

“Oh, maaf. Nama hamba ... Prabhava .... berasal dari negeri Bhanggala. Hamba ingin ke Gunung Sembatu. Kalau tiada aral melintang ... dan jika hasrat tidak terhalang ... hamba ingin bertemu dengan ... seorang yang bernama Adhi Vira ... Putera Adhi Vira ... juga digelar orang ... Panglima Jati Perkasa … manakala pengikut-pengikut setianya … mereka gemar memanggilnya … Dewa Gunung.”

“Oh,” sambung Adhi Vira. "Tapi tuan hamba ... tidak kelihatan seperti kebanyakan pemuda Bhanggala yang lain. Ada sedikit perbezaan."

"Umm ... mungkin kerana hamba ... lebih banyak menyerupai bapa hamba. Dia orang Kambhoja ... daripada suku Ashvaka." 

“Oh. Tuan hamba ini, adakah seorang sahabat Adhi Vira?”

“Tidak. Hamba tidak mengenalinya ... dan dia juga tidak mengenali hamba. Hamba cuma mengetahui namanya.”

“Lalu, apakah tujuan di hati tuan hamba rang muda ingin bertemu dia?”

“Umm ... begini, Tuan. Hamba dengar ... Adhi Vira itu adalah daripada keturunan Wangsa Dharmakusuma ... pewaris takhta kerajaan Amdan Negara ... yang menggantikan kerajaan Chi Tu ... yang pada mulanya diperdiri oleh seorang yang bernama Buddha Gupta ... Putera Buddha Gupta dari negeri Bhanggala. Kebetulan Buddha Gupta itu ... dia adalah saudara bongsu kepada seorang nenek moyang hamba di sebelah ibu … nenek moyang di zaman silam ... namanya Bhanu Priya ... Puteri Bhanu Priya ... di kota Rajbadi Dangga ... di wilayah Karna Suvarna … di bumi Bhanggala.”

“Kalau begitu ... tuan hamba rang muda ... bererti kita berdua adalah saudara sezuriat ... kerana ... hambalah Adhi Vira. Sungguhpun zaman mereka sudah lima abad berlalu ... kita tetap sezuriat ... seketurunan daripada daripada jurai salasilah kedua orang tua kepada Puteri Bhanu Priya dan Putera Buddha Gupta. Selamat datang ke Amdan Negara.”

Prabhava mengamati wajah orang yang sekian lamanya dicari-carinya dan baru kini bertemu. Putera Adhi Vira memang hebat orangnya. Lebih hebat daripada yang dijangkanya daripada kisah-kisah yang didengarinya sebelum ini.

"Oh!" Sejurus kemudian, anak  muda itu bersuara semula. "Ayah hamba ada berpesan ... sekiranya hamba bertemu dengan Tuan ... supaya menyampaikan salam sejahtera dan persahabatan daripadanya kepada Tuan."

"Terima kasih. Dia seperti seorang yang budiman. Apakah namanya?"

"Prakasha."

"Suatu nama yang gemilang. Dia lahir di Bhanggala?"

"Tidak. Dia perantau dari Badakshan ... di hala barat Pergunungan Himalaya. Dia datang mengembara ke negeri Bhanggala ... ketika masih seorang remaja. Memang ramai orang-orang sepertinya ... yang berkhidmat dengan bala tentera Wangsa Pala ... yang kini menjadi golongan pemerintah di negeri Bhanggala dan wilayah serantau."

"Dia seorang panglima?"

"Kira-kiranya, begitulah. Dia Panglima Agung pasukan berkuda dalam bala tentera kerajaan Wangsa Pala."

"Wei! Hebat benar itu. Tentu tuan hamba rang muda juga mewarisi sedikit sebanyak kehebatannya."

§
Prabhava meninjau-ninjau kawasan bersekitar yang berbukit-bukau. Rumah kediaman Adhi Vira mudah dan ringkas sahaja rupa bentuknya. Namun seni binanya agak menarik, ada sedikit kelainan daripada rumah-rumah lain yang berhampiran.

Kemudian Prabhava terpandang seorang gadis yang sedang membasuh pakaian berhampiran perigi.

"Banyakkah hasil yang laku dijual, Ayah?" gadis itu bersuara. Sekuntum bunga kemboja merah terselit di sanggulnya, wajahnya begitu ayu serta manis mempesona, membuat Prabhava terpegun sebentar. Gadis itu kemudian ternampak Prabhava, lalu mata mereka bertemu seketika.

"Nasib kita sungguh baik hari ni, Wangi. Semua barangan yang Ayah bawa habis dibeli oleh peniaga di pasar Dabong." Adhi Vira kemudian berpaling ke arah Prabhava.

"Eh ... mengapa pula nampak tercegat aja dema di situ, rang muda?"

"Oh! Umm ... maaf, Tuan. Hamba terpesona ... dengan seni bina serta tatahias rumah tuan. Walaupun ringkas ... tetap indah anggun dan mengagumkan gaya buatan dan kemasannya."

"Wangi ... ini Ayah kenalkan ... anak muda yang datang dari begitu jauh ... beribu persangga jauhnya dari sini ... untuk mencari kita dan bertemu dengan kita. Kebetulan pula ... dia juga saudara sezuriat dari zaman silam dengan kita. Putera Prabhava ... dari bumi Bhanggala. Dan rang muda ... ini hamba kenalkan ... anak gadis hamba. Namanya Kembang Seri Wangi." 

§
Enam purnama berlalu ...
“Mereka harus ditentang, Tuan Adhi Vira,” ujar Prabhava. “Ditentang habis-habisan sehingga mereka tersingkir sepenuhnya dari Bukit Panau dan sepanjang Lembah Sungai Kelantan. Kerana seluruh bumi Amdan Negara ini adalah hak milik mutlak putera bumi di wilayah ini. Dan Mahligai Dharmakusuma adalah hak milik mutlak Wangsa Dharmakusuma.”

“Memang sudah lama hamba dan pengikut-pengikut hamba berusaha ke arah itu, Bhava. Malah, sejak zaman nenek moyang hamba lagi sudah acap kali orang-orang kami melakukan perkara yang sama. Namun masalah yang sering kami hadapi ialah, pihak kami terlalu sedikit bilangan orang yang berkemampuan untuk bertempur. Manakala pihak musuh sentiasa terlalu ramai dan jauh lebih lengkap bersenjata.”

“Kalau begitu, biar hamba usahakan beberapa gerombolan pahlawan perantau dari Bhanggala, daripada kalangan kaum Bhanggala dan juga Kambhoja. Mereka pejuang tegar. Berserta beberapa muatan kapal pelbagai senjata. Dengan jumlah pejuang dan senjata yang cukup, serta kehandalan Tuan serta pengikut-pengikut Tuan dalam pelbagai jenis seni tempur, hamba yakin bahawa kita semua dapat membina suatu angkatan yang mampu menggalas cabaran yang tertuntut untuk menewaskan bajingan-bajingan asing itu.”

“Tapi ... mungkinkah senjata itu dapat melepasi halangan mereka? Perahu-perahu dan kapal-kapal mereka berkawal ketat di sepanjang kawasan lembah sungai hingga ke kuala dan sebahagian besar kawasan pantai di sekitar kuala.”

“Kita buat pendaratan di pantai barat. Bolehkah kita mendarat di Manjung, di wilayah Gangga Negara?”

“Tidak. Hamba fikir itu kurang sesuai. Kerana raja Gangga Negara kini, dia sendiri adalah daripada zuriat Bala Putra Deva. Akibat negeri nenek moyangnya ditakluk oleh Bala Putra Deva sekitar seabad yang lalu. Maka, hamba khuatir, dia mungkin memihak kepada Palembang Srivijaya dan sebarang kaum kerabatnya, kerana dia kini bersaudara dengan mereka semua. Tambah lagi, angin musim timur laut lebih cenderung menolak kapal yang bergerak secara lurus dari Pulau Singhala ke Kedah Negara.”

“Ataupun, kita boleh usahakan pelayaran menyusur pantai, melewati bumi Arakan, kemudian negeri-negeri orang Pyu, Bhama dan Mon. Sekaligus kita juga boleh cuba mendapatkan sebilangan pahlawan perantau daripada kalangan mereka. Apapun, kita boleh buat pendaratan di Kampong Sungai Mas atau Kampong Pengkalan Bujang, di Kedah Negara. Sebahagian senjata itu kita beri sebagai hadiah kepada Narapati Kedah Negara, sebagai tanda persahabatan. Senjata itu pasti akan amat berguna baginya. Selebihnya, kita angkut ke sini melalui jalan darat, merentas hutan belantara.”

"Cuma ... daripada apa yang Wangi dengar ... Sungai Muda kini semakin hari semakin ditimbus selut," Kembang Seri Wangi menyelit. "Membuat airnya semakin bertambah cetek. Maka pendaratan di Kampong Sungai Mas bagi kapal-kapal yang besar mungkin agak rumit. Kalau Sungai Merbok ... airnya masih cukup dalam ... membuat Kampong Pengkalan Bujang semakin lebih digemari sebagai tempat mendarat."

“Itu antara pelbagai pertimbangan yang perlu dibuat," ulas Adhi Vira. "Dan lagi ... pengangkutan melalui jalan hutan belantara yang jauh itu ... mungkin agak rumit.”

“Kita gunakan haiwan, Tuan," Prabhava meneruskan. "Lembu, kerbau, dan kuda. Kalau Tuan dapat mencarikan beberapa ekor gajah yang terlatih, maka itu lebih baik lagi. Usaha ini akan mengambil masa yang agak lama. Tapi hanya itu cara yang terbaik. Pejuang-pejuang Tuan menguasai kawasan pedalaman yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang. Orang-orang Biduk Bota tidak akan berupaya mengganggu kita di sana.”

“Ummm,” Adhi Vira mengurut-urut janggutnya. “Suatu cadangan yang menarik.”

“Cadangan Abang Bhava itu agak munasabah, Ayah,” Kembang Seri Wangi melangkah masuk dari dapur, melalui ruang utama  ke serambi, membawa pengat labu, buah berangan bakar berserta air kelapa muda. “Ia wajar diberi pertimbangan.”

“Kita beli sebanyak mungkin lembu dan kerbau di Kedah Negara,” Prabhava menyambung, anginnya kini seperti semakin menyegar apabila buah fikirannya menerima sokongan daripada pujaan hatinya. “Kita bawa kuda dengan kapal dari Pulau Singhala. Kebetulan, negeri hamba juga sudah menjadi sebuah pusat perdagangan kuda yang hebat sejak akhir-akhir ini, kini hampir setanding dengan Pulau Singhala.”

"Umm ... baiklah. Nanti kita semua kaji dan nilai bersama cadanganmu itu. Kita tengok ilmu tempurmu pun bukan calang-calang juga gayanya. Di manakah kamu belajar semuanya?"

"Hamba belajar di semua tempat hamba pergi merantau, Tuan. Tapi tempat yang paling banyak jenisnya seni tempur yang hamba peroleh adalah di negeri Kerala. Di sana ... hamba paling lama berguru dengan seorang guru seni tempur ... yang mengajar berhampiran Biara Sri Venkata Eshvara, di Gugusan Bukit Thirupati."

"Oh! Kita pernah mendengar nama biara itu. Daripada perantau dan saudagar Kerala yang pernah Kita di temui."

"Venkata Nayaka, atau digelar juga Sri Venkata Eshvara, mengikut kepercayaan rakyat Kerala, adalah dewa penjaga Bukit Venkata, iaitu bukit ketujuh di kalangan segugus bukit yang keseluruhannya digelar Gugusan Bukit Thirupati. Di negeri Kerala, Venkata Nayaka dianggap sebagai Dewa Pemberi Tuah. Mungkin kerana biaranya sejak dulu hingga kini adalah biara yang paling kaya dan banyak simpanan khazanahya di seluruh Benua Hindi. Kitab-kitab Shashtra dan Purana juga ada mengisytiharkan, bahawa seseorang itu boleh mencapai mukhti hanya dengan berpuja kepada Venkata Nayaka."

"Oh. Hairan juga. Di sinipun, Gunung Sembatu tempat diaman keluargaku ini, sekaligus pangkalan perguruan seni tempur di seluruh pergunungan ini, juga adalah gunung ketujuh di kalangan tujuh buah gunung. Harap-harapnya, ia suatu petanda baik bagi kita semua."

"Sebenarnya, hamba juga terfikirkan itu ketika pertama kali tiba di sini, Tuan. Kerana tempat hamba bertolak di penghujung perantauan di Kerala adalah gugusan tujuh bukit, manakala tempat hamba tiba kesudahannya di Amdan Negara ini pula adalah gugusan tujuh gunung. Cuma, hamba tidak membangkitkan tentang perkara ini kepada Tuan."

"Umm, menarik benar tu. Kita dengar juga ... orang-orang Kambhoja ... terutamanya kalangan puak Ashvaka ... penonggang kuda yang amat hebat. Kamu juga begitu?"

"Hebat atau tidak itu ... terpulanglah kepada pihak yang menilainya. Yang pastinya ... hamba telah mula dididik menonggang ... sejak berusia tujuh tahun lagi ... oleh Ayah hamba sendiri. Dan hamba mula diajar memanah sambil menonggang ... ketika mencapai umur dua belas tahun."

"Kalau begitu ... kamulah orang yang tepat untuk sesuatu yang telah lama Kita rancangkan. Kita mahu kamu membantu Kita ... berusaha membina suatu pasukan pahlawan berkuda untuk Angkatan Dharmakusuma ... hingga ia menjadi ... pasukan pejuang berkuda yang paling ampuh dan berwibawa ... di seluruh bumi Langkasuka ini."

"Hamba terima cabaran itu dengan sebesar hati, Tuan. Dan hamba anggap keyakinan Tuan kepada hamba ... sebagai setinggi-tinggi penghormatan." 

Adhi Vira menggosok-gosok ayam sabungnya, Jalak. Semangat muda Prabhava memang tidak boleh dinafikan. Tetapi, terutamanya bagi seorang pahlawan berpengalaman seperti Adhi Vira, sesuai atau tidaknya pelbagai saranan dan cadangan Prabhava tetap perlu dikaji terlebih dahulu, sungguhpun kehandalannya bertempur memang menyerlah.

Begitupun, cadangan-cadangan itu tetap harus dipertimbangkan. Manakala sifat meta, berani dan gedeber yang ada pada Prabhava sering kali mengingatkan Adhi Vira kepada dirinya sendiri di zaman mudanya.

Tentang anak gadisnya sendiri pula, Adhi Vira telah belajar menghormati pandangannya apabila dia bercakap. Kembang Seri Wangi telah banyak berubah sejak zaman kecilnya. Sebagai kanak-kanak dia seorang yang pemalu, teragak-agak dan selalu bersendirian yang sering tidak yakin dengan dirinya sendiri. Namun, dia telah beransur-ansur bertukar menjadi seorang wanita yang berjiwa merdeka, teguh hati dan utuh jiwa, dengan semangat tegas yang mampu menyokong sesuatu yang dipercayainya.

Kehadiran Nibung dan Pinang di rumahnya telah mencetus kematangannya menjadi seorang kakak yang bertanggungjawab, berani bersuara dan bersifat melindungi. Manakala pendedahannya kepada latihan seni tempur, banyak daripadanya di bawah tunjuk ajar bapanya sendiri, telah menempa keteguhan dan yakin diri ke dalam perwatakannya.

Lalu Adhi Vira teringat semula kepada ramalan Nujum Teratai Putih berhubung anak gadisnya itu dua puluh tahun yang lalu. Dia sentiasa hairan tentang cara orang-orang seperti Teratai Putih. Mereka gemar bertutur secara berteka-teki yang sukar difahami oleh orang lain, sungguhpun mereka boleh menyatakan sesuatu dengan gaya yang jauh lebih mudah.

Manakala dirinya sendiri sentiasa bergantung pada kekuatan, keberanian dan kecekapan, selain pintar akal budi, bijak dan culas, untuk terus mandiri dengan azamnya dalam hidup. Begitupun, perubahan beransur-ansur pada perwatakan Kembang Seri Wangi seolah-olah semakin lama semakin menjurus kearah membenarkan ramalan Teratai. Barangkali ada jua sesuatu kaedah pada kebolehan yang dimiliki oleh Teratai, dia merenung kembali.

§
Beberapa tahun kemudian …
Kembang Seri Wangi mengacau-ngacau pengat ubi sarek di dalam belanga kecil di atas dapur. Ia di antara juadah ringan yang paling digemari oleh bapanya sejak zaman kecilnya lagi. Kini suaminya pula yang terikut menggemarinya. Sambil-sambil itu dia menjenguk sekali sekala, melalui jendela dapur yang terbuka luas, memerhatikan anak lelakinya yang sedang bermain-main berhampiran.

“Kau duk buat apa tu, Tata?” dia menyapa anaknya.

“Duk bagi si Rinting makan padi, Mak,” anaknya menjawab. “Biar dia besar gagah dan kuat berlaga.”

“Jangan merayau jauh-jauh sangat, ya Nak.”

“Tidak, Mak. Tata kat sini aja.”

Sambil menunggu pengat ubi itu masak, Kembang Seri Wangi menjerang serbuk kopi di dalam kendi tembaga peninggalan mendiang ibunya. Sebentar lagi apabila suaminya pulang bolehlah mereka sekeluarga menikmati juadah lewat pagi bersama-sama.

“Wangi,” terdengar suara bapanya dari arah hadapan rumah.

“Ya, Ayah,” Kembang Seri Wangi menyahut. “Ada apa, Yah?”

“Di mana anak mu?” Adhi Vira membasuh kakinya, seterusnya menaiki tangga hadapan rumahnya, lalu duduk bersandar di serambi. Sungguhpun sudah beroleh seorang cucu, susuk tubuhnya masih tegap dan sasa. “Sepanjang pagi Ayah belum melihatnya lagi.”

“Oh, Tata. Tu, di sana tu, dekat bawah, dekat rimbun pokok samak tu. Duk menabur padi memberi makan ayam jantan muda Ayahnya, si Rinting.”

“Oh, ada rupanya. Baiklah. Jangan sekali-kali kau lalai mengawasinya, Wangi. Kerana dia adalah pewaris Wangsa Dharmakusuma yang terakhir.”

Adhi Vira terlalu menyayangi cucu tunggalnya Shakranta, yang kini hampir mencecah enam tahun usianya. Dia sentiasa begitu bengis dan garang melindungi anak itu daripada sebarang ancaman atau bahaya. Kata orang, kalau ayam sabung, yang baka baik itu lazimnya amat sukar hendak berkembang biak. Mungkinkah perkara serupa juga yang kini sedang melanda Wangsa Dharmakusuma? Kembang Seri Wangi termenung seketika, melayani lamunannya, sambil memerhatikan gelagat anak tunggalnya.

“Dan Wawa pula, ke mana gerangan dia?”

“Abang Wawa ke sungai, Ayah. Untuk mengambil ikan dan sayur yang dibeli daripada penduduk di hilir.”

“Pinang dan Nibung … belum pulang lagi?”

“Belum. Mereka mungkin lambat sedikit. Kata mereka .. nak memikat burung ketitir dan tekukur … sambil menengok-nengok jerat ayam hutan, burung kuang serta pelanduk … kalau-kalau ada yang mengena.”

Adhi Vira membaringkan dirinya di bangku panjang. Enak juga kalau dapat terlena barang sedetik dua, fikirnya.

“Atuuuk!” terdengar panggilan nyaring Shakranta yang telah bergerak ke bahagian hadapan rumah, membuat Adhi Vira tersentak daripada khayalannya. “Kenapa si Rinting tak nak patuk lagi? Puas dah Tata tabur padi kepadanya.”

“Hai, kamu ni Tata,” jawab Adhi Vira. “Kalau dia tak nak patuk tu, maknanya dia dah kenyanglah tu. Hah, tengok ajalah pedalnya tu. Kan dah besar menggelembung tu, kan? Kamu pun, kalau dah kenyang sangat, perutpun dah buncit, kalau Mak kamu suap lagi pun, kamu makan tak?”

“Alah, Atuk ni, ada-ada aja,” anak itu bersungut. “Orang tanya sikit aja, banyak pulak dia jawab.” Namun akal kecilnya tetap dapat merasai kebenaran pada apa yang diperkatakan datuknya itu.

Telatah mereka dua bercucu membuat Kembang Seri Wangi tertawa kecil seorang diri.

Di zaman remajanya, Kembang Seri Wangi tidak pernah terbayang langsung bahawa suatu hari dia akan bertemu jodoh dengan seorang putera. Apatah lagi seorang putera dari bumi asing yang begitu jauh. Sungguhpun dia sendiri seorang puteri. Kerana kemungkinannya untuk sesuatu seperti itu berlaku pada anggapannya memang terlalu kecil.

Memandangkan persekitaran kehidupannya yang jauh terpencil. Hanya dikelilingi oleh bukit-bukau, gunung-ganang dan rimba belantara. Ditemani deringan riang-riang di musim panas, dendangan katak di piam hujan, kicauan burung sepanjang hari, jerit pekik kera monyet ketika petang dan tawa hilai sang siamang di waktu pagi.

Bukanlah pula dia terlalu berharapkan begitu. Baginya, semua manusia sama sahaja. Dia tidak pernah terlalu memikirkan tentang darjat atau keturunan. Ataupun membeza-bezakan sesiapa yang dikenalinya dari segi sedemikian. Yang lebih penting, baginya, adalah perwatakan mereka.

Namun akhirnya, kebesaran Sang Pencipta mengatasi segala, apabila seorang putera berdarah campuran Kambhoja-Bhanggala suatu hari muncul dengan tak semena-mena di Dabong dan bertemu dengan Adhi Vira. Yang kemudiannya membawa kepada kunjungannya ke Gunung Sembatu dan pertemuan pertamanya dengan Kembang Seri Wangi. Pertemuan yang membibitkan cinta sejati setulus hati.

“Abang Wawa … adakah kini sudah begitu pasti … begitu tekad … ingin melamar Wangi untuk diperisteri … dan sanggup menetap di Amdan Negara ini … tidak kembali ke tanah air Abang … di bumi Bhanggala lagi?” Kembang Seri Wangi bertanya, menagih secebis kepastian, ditengah-tengah desiran Air Terjun Jelawang yang turun mencurah begitu tinggi dari puncak Gunung Sembatu.

“Memang … Abang sudah pasti sepasti-pastinya … tekad setekad-tekadnya.” Prabhava merenung rembulan mengambang yang melayari lautan awan di langit nan tinggi. “Abang tetap akan pulang ke Bhanggala ... barang sekali sekala ... buat melepas rindu kepada kaum keluarga dan sanak saudara. Tapi ... pada dirimu, Wangi … pada seisi keluargamu … pada perkampungan ini … pada seluruh pergunungan ini … Abang sudah menemui damai sempurna … yang Abang cari-cari selama ini. Maka hanya di sini ... yang bakal menjadi kampung halaman Abang yang baru ... hingga ke akhir hayat ... kiranya hasrat diri direstui.”

“Abang tidak akan bosan … di hari-hari mendatang?”

“Tidak mungkin. Abang akan sentiasa terpesona dan teruja … dengan perjuangan orang-orang di sini. Perjuangan murni dan agung tanpa jemu … menentang penjajahan dan penindasan. Abang ingin menyumbang … segala yang Abang termampu … Abang ingin menjadi … sebahagian daripada perjuangan itu.”

Begitulah, bak kata orang, ikan di laut, asam di darat, di dalam belanga bertemu jua.

§
Hidup di Bukit Panau semakin lama semakin rumit dan perit. Kadar cukai yang kini begitu tinggi tambah menyukarkan penduduk untuk mencari nafkah yang mencukupi bagi menyara keluarga masing-masing. Hasil kerja mereka saban hari membanting tulang pula kerap kali di rampas sebahagian besar daripadanya dengan sewenang-wenangnya oleh orang-orang Biduk Bota.

Semakin ramai orang yang tidak tahan lagi dengan kepayahan dan sengsara hidup mereka berhijrah ke tempat lain yang jauh dari Bukit Panau untuk mengelak penganiayaan Biduk Bota. Sebahagian besar daripada mereka berpindah beramai-ramai ke kawasan terpencil di wilayah pedalaman, membuka tanah hutan dan membina hidup baru di sana. Ada yang menghala ke arah hulu Sungai Galas hingga ke Jelawang, malah ke wilayah gunung bertujuh, berhampiran kediaman Dewa Gunung.

Semakin lama perkampungan di Bukit Panau dan wilayah bersekitar semakin menyusut. Sebaliknya, perkampungan di wilayah pergunungan pula semakin lama semakin membusut, terutamanya di kawasan berhampiran Gunung Sembatu. Kerana rupa buminya di tempat yang baru mereka diami tidak sesuai untuk ditanam padi cara bersawah, mereka belajar berhuma lalu menanam padi huma. Bagi mereka yang tahu tampaknya seolah-olah sebuah negeri yang sudah lama bertapak beransur mundur, sementara sebuah negeri baru semakin berkembang subur.

Perkembangan terbaru ini membuat Biduk Bota semakin jengkel. Sawah ladang yang ditinggalkan terbiar oleh penduduk yang berhijrah semakin lama semakin usang. Membuat semakin sukar bagi Biduk Bota dan orang-orangnya untuk mendapatkan bahan makanan dengan mudah. Lalu mereka semakin liar dan ganas merampas barang apa hasil tani yang mereka temui di kalangan barang mana petani dan peladang yang masih ada tinggal di kawasan berdekatan.

Biduk Boda cuba menggunakan pekerja abdi untuk mengusahakan sawah terbiar di bawah penyeliaannya. Orang-orangnya pula mula menyerbu dan menangkap penduduk kampung secara rambang dan menjadikan mereka abdi tambahan yang dipaksa mengusahakan sawah bagi mereka. Maka penduduk pun mula lari bertempiaran setiap kali sebarang gerombolan orang yang tidak dikenali menghampiri mereka. Begitupun padi yang terhasil dengan tenaga paksa manakan sama dengan padi yang membuah daripada cinta murni kepada bumi milik sendiri, baik jumlahnya mahupun mutunya.

Abdi yang tidak berupaya bekerja kuat kerana letih atau uzur dipukul dan disebat. Maka ramai daripada mereka yang melarikan diri apabila bersua barang sedikit kesempatan, sungguhpun buruk padahnya jika ditangkap semula. Lalu abdi yang lari itu diburu dan sesudah ditawan dihukum bunuh di hadapan khalayak ramai.

§
Rembulan bertenggek di puncak dirian pepohon tertinggi. Kepulan awan kelabu yang berselerak berhanyutan perlahan-lahan merentas langit yang agak lapang. Kawasan lembah di wilayah pergunungan bermandi cahaya gemilang terang benderang.

Putera Adhi Vira, juga digelar orang Panglima Jati Perkasa, merenung setiap pasang mata murid-murid perguruannya, seorang demi seorang. Riak wajahnya yang sentiasa tenang tenteram kerap memperdaya sebarang mata yang menatap. Kerana di sebaliknya terselindung kekuatan hati sekental waja, serta keperkasaan jiwa meta yang tidak gemar tunduk kepada sebarang ancaman.

Upacara tamat perguruan berjalan lancar. Setiap muridnya kelihatan ceria gembira, melopong mulut beberapa orang daripadanya, terkebil-kebil mata mereka, menanti ucapan rasmi guru mereka.

“Ucapan, Guru!” seorang muridnya berteriak. “Kami mahu sebuah ucapan hebat!”

“Cerita, Guru!” laung seorang lagi. “Cerita pembina semangat!”

“Baiklah,” ujar Adhi Vira. “Dema semua kelihatan ghairah bersemarak. Maka tidak mungkin lagi bagi hamba untuk menghampakan harapan dema.”

“Wei! Wei!” semakin galak murid-murid itu bertempik sorak.

“Langkasuka Adhi Negara,” Adhi Vira memulakan ucapan yang ditunggu-tunggu dengan suara lantang namun bernada tenang. “Digelar orang juga Langkasuka Maha Mandala. Sebuah mandala purba yang mencakupi bahagian tengkuk dan bahu Semenanjung Emas. Buminya seindah nama. Tempat berdiri beberapa buah negeri. Kedah Negara, Patani Seri Negara dan Amdan Negara sebagai negeri-negeri teras. Gangga Negara, Terengganu Primula Negara dan Pahang Indera Pura sebagai negeri-negeri bersekutu. Sementara Gelanggi Ayu, sungguhpun terletak jauh di selatan, di hujung semenanjung, punya taraf sebagai negeri bersahabat.”

Maka … Semenanjung Emas itu … sudah ribuan tahun ia menjadi jambatan zaman purba yang menghubung Suvarna Bhumi … iaitu Benua Emas … dengan Suvarna Dvipa … iaitu Kepulauan Emas. Menjadikannya jalan darat yang gemar dilalui oleh para penghijrah … sama ada yang bergerak dari benua ke kepulauan … mahupun yang beranjak dari kepulauan ke benua. Seterusnya … apabila manusia sudah belajar bertamadun dan berperadaban … lalu pandai hidup aman damai … berdagang dan berhubungan di antara pelbagai kaum, negeri dan kerajaan … maka jadilah pula bumi Langkasuka … di wilayah utara Semenanjung Emas … sebagai jalan pintas yang memendekkan laluan perdagangan di antara timur dan barat.

Para pelayar bergantung sepenuhnya pada arah tiup angin musim. Maka mereka menjadikan bumi Langkasuka sebagai tempat persinggahan dan tempat berteduh manakala menunggu angin berubah arah … ataupun sementara menunggu untuk meneruskan perjalanan. Sambil memanfaatkan masa itu juga untuk melaksanakan jual beli ataupun pertukaran barangan dagang. Yang dari barat singgah berteduh di Kedah Negara … manakala yang dari timur berbuat serupa di Patani Seri Negara dan Kelantan Amdan Negara.

Maka bumi Langkasuka … rakyatnya bangsa Mala, Mon dan Khmer dengan pelbagai pecahannya masing-masing. Ribuan tahun sebelumnya … di zaman dahulu kala kepada dahulu kala … mereka semua sekaum … serumpun. Sebangsa … seketurunan. Nenek moyang mereka menggelar diri sendiri hanya dengan satu nama ... iaitu Mala … istilah bahasa Pali yang bermaksud Gunung. Kerana mereka bersalasilah daripada kaum yang mendiami kawasan gunung-ganang … di wilayah selatan sebuah negeri bernama Yunnan … di pinggiran paling timur Banjaran Himalaya … yang darinya berpunca dua sungai nan agung ... Sungai Mekong dan Sungai Ayerya Waddi.

Semasa nenek moyang mereka masih tinggal di Yunnan ... mereka sering bertemu dan bercampur gaul dengan suatu bangsa gunung lain yang datang sebagai perantau atau pedagang dari pinggiran barat Banjaran Himalaya ... iaitu bangsa Kambhoja ... di sesetengah tempat digelar juga bangsa Kumara atau Kamira. Demikian juga, di kalangan orang Mala itu pula ada yang pergi merantau atau berdagang di negeri orang Kambhoja itu.

Maka wilayah hulu Lembah Ayerya Waddy menjadi titik pertemuan di antara dua bangsa itu, dalam perjalanan orang Kambhoja menuju ke Yunnan atau orang Mala menghala ke negeri orang Kambhoja. Lalu di antara kedua bangsa itu ramai yang berkahwin campur di antara mereka lalu menghasilkan anak-anak berdarah kacukan Mala-Kambhoja.

Dengan berlalunya masa beribu tahun … orang-orang Mala itu berkembang biak dan bertambah ramai bilangannya lalu mula berpecah-pecah. Kaum Mala di kawasan utara … di bahagian hulu dan tengah lembah-lembah Sungai Mekong serta Sungai Ayerya Waddy … mula memanggil diri mereka dengan nama Mon … kerana demikianlah caranya mereka menuturkan istilah Mala … disebabkan pelat mereka yang terlalu pekat. Manakala kaum Mala yang bergerak lebih awal hingga ke kawasan selatan dan pantai kawasan tenggara kekal dengan nama asal mereka … iaitu Mala.

Dipendekkan cerita … orang-orang Mon terus kekal di kawasan pertengahan lembah Sungai Mekong serta Sungai Ayerya Waddi . Manakala sejurai daripada orang-orang Mon itu terus bergerak ke arah timur dan tenggara ... menyusuri Lembah Sungai Mekong. Mereka akhirnya menamakan pula diri mereka dengan nama Khmer … mengambil sempena nama bangsa Kumara atau Kamira masa silam ... yang memang tersohor jauh dan dekat kerana keberanian serta keperwiraan mereka.

Adhi Vira berhenti sejenak, meninjau, menilai tahap tumpuan murid-muridnya.

“Wei, kawan-kawan!” seorang daripada muridnya berteriak. “Kini baru ku tahu! Nenek moyang kita di zaman silam namanya orang Mala!”

“Wei! Jadi orang-orang Mon dan Khmer itu saudara kita rupanya!” tempik seorang lagi. “Hebat … hebat.”

"Orang-orang Mala yang bergerak lebih awal ke selatan dan tenggara akhirnya sampai ke kawasan pantai Suvarna Bhumi … iaitu Benua Emas … termasuk sebuah semenanjung yang melunjur jauh ke selatan … ke Samudera Tenggara … namanya Semenanjung Emas." Adhi Vira meneruskan ceritanya. “Mereka mula membuka negeri dan menabal raja. Maka sesetengah daripada negeri itu di namakan Mala Yu … yang bermaksud Negeri Mala. Lalu orang-orang Mala yang mendiami kawasan pantai Suvarna Bhumi serta seluruh Semenanjung Emas beransur dipanggil orang Mala Yu … yang seterusnya menjadi Malayu … dan akhirnya Melayu."

Orang-orang Melayu itu seterusnya berpecah-pecah lagi. Sebahagian daripada mereka kekal di kawasan pantai Suvarna Bhumi serta seluruh Semenanjung Emas. Mereka menggelar diri mereka Melayu Gunung … iaitu mengambil sempena asal usul mereka … sungguhpun ramai daripada mereka kini tinggal di kawasan pantai.

Manakala sebahagian lagi orang-orang Melayu itu belayar merentas Samudera Tenggara hingga sampai ke pelbagai pulau di seluruh Kepulauan Tenggara … lalu mereka bercampur baur dengan bermacam puak dan kaum orang-orang asal di pelbagai pulau. Maka akhirnya mereka dan cucu cicit mereka menggelar diri dengan nama Melayu Pulau.

“Wei!” teriak seorang murid. “Hebat ceritanya, Guru! Teruskan lagi!”

"Maka demikianlah,” Adhi Vira menyambung. “bumi Langkasuka Adhi Negara … terus didiami oleh orang-orang Melayu, Mon dan Khmer. Juga pelbagai kaum asal yang sudah mendiami buminya sejak dahulu kala. Maka Melayunya itu kebanyakannya Melayu Gunung yang sudah lama bermastautin … dengan segelintir Melayu Pulau yang baru mendatang … ataupun … lebih tepat lagi … baru kembali semula ke tempat asal nenek moyang mereka … dari kawasan kepulauan."

Sudah zaman berzaman seluruh bumi Langkasuka Adhi Negara … bumi gemilang bahagia warisan daripada nenek moyang kita … seperti ditimpa tulah. Iaitu tulah yang bernama penjajahan. Kerana rakyat bumi Langkasuka sering bercakaran sesama sendiri … kerana kita terlalu sukar untuk hidup bersatu padu … maka akibatnya kita diserang dan ditakluk oleh pelbagai penjajah yang datang dan pergi silih berganti. Mulanya orang-orang Mon dari Hamsa Vati, Tenasserim dan Dvara Vati. Kemudiannya orang-orang Khmer dari Funan dan seterusnya Chenla. Terakhirnya kini … orang-orang Melayu Pulau … iaitu saudara serumpun kita sendiri yang paling rapat … dari Palembang.

Satu demi satu mereka datang menjajah. Merompak dan merampas perak dan emas dari perut bumi kita … menjarah hasil alam dari hutan belantara kita. Kini sudah dua abad orang-orang Melayu Pulau menggeledah segala yang berharga … serta memusnah apa jua yang tidak mampu mereka nilai harganya. Mereka menodai bumi Langkasuka dengan keganasan dan tamak haloba mereka. Kerajaan-kerajaan lama di bumi Langkasuka kini hancur berkecai akibat kegelojohan mereka. Golongan bangsawan bertelingkah di antara sesama sendiri … manakala rakyat jelata yang menjadi korban sengketa.

Sejak zaman kerajaan Kushan dan Gupta di Benua Hindi lagi … iaitu berabad-abad sebelum bangkitnya kerajaan Kuntala dan pewarisnya Palembang Srivijaya di Pulau Sumatra … dan kerajaan Sailendra di Pulau Jawa … orang-orang di bumi Langkasuka sudah pandai hidup berperadaban, beraja dan bernegeri. Namun kini, kegemilangan negeri-negeri di bumi Langkasuka dibenam tertimbus … dan hanya kemegahan Palembang Srivijaya yang ditonjol mengagus.

Kini rakyat bumi Langkasuka sudah mula merasa terlalu bosan .. bosan diri mereka ditindas … hasil bumi mereka dirampas. Sudah kesekian kali mereka dan nenek moyang mereka bangkit memberontak. Namun setiap kali tidak berjaya. Mereka tewas. Kerana angkatan penjajah terlalu gagah. Maka … setiap kali mereka bangkit … bala tentera penjajah datang menggempur … menumpas … menjarah … menghancur musnah.

Inginnya rakyat seluruh mandala Langkasuka untuk mengecapi merdeka. Merdeka dalam erti kata yang sebenarnya … sepenuhnya. Merdeka sebagaimana negeri yang menjajah mereka. Namun … sehingga kini … hajat murni yang terbit di hati nurani belum lagi kesampaian.

Kerana buminya bertuah … tanahnya subur … kaya pula dengan bermacam hasil bumi. Tambah lagi letaknya di laluan dagang laut dan darat yang elok bagi para pedagang dan saudagar yang datang dari timur dan barat. Maka Langkasuka tidak pernah sunyi daripada menjadi rebutan negeri-negeri besar yang berhampiran. Ibarat gadis jelita yang sentiasa menjadi idaman segala jejaka tampan.

“Fiewww!” seorang murid bersiul nyaring. “Fiewww! Fiewww!”

Kerana itu juga … bumi Langkasuka menjadi tempat bertumpuk titisan zuriat raja-raja hebat.” Adhi Vira menyambung lagi. “Yang bermula apabila mereka datang menyerang dan menakluk … seterusnya berkahwin dengan puteri-puteri mandala Langkasuka sebagai sebahagian syarat janji damai.”

Maka demikianlah … di bumi Langkasuka ini … munculnya raja-raja yang bernasab daripada Khouroush maharaja Parsi … Wan Seri Mara raja agung Funan … dan Buddhagupta Maha Navika putera perantau dari Benggala. Malah ada yang percaya ... bahawa titisan zuriat Ashoka raja Magadha pun ada pada raja-raja di bumi ini. Lalu daripada mereka pula berbenih raja-raja Palembang Srivijaya di Pulau Sumatra serta Sailendra di Pulau Jawa. Di samping juga raja-raja Negara Seri Dharmaraja, Kedah Negara, Patani Seri Negara serta Amdan Negara sendiri.

“Namun manusia ingatannya singkat!” Adhi Vira mula menderam bengis, matanya berpinar, mukanya menjergil. “Mereka terlalu cepat lupa asal-usul nenek moyang mereka! Tidak terkecualilah golongan panglima dan raja-raja. Maka apabila mereka terasa kedudukan mereka di negeri baru mereka sudah cukup kuat … mereka kembali ke bumi tempat asal nenek moyang mereka. Menyerang … menjarah … menakluk … menjajah … menindas saudara serumpun mereka sendiri!”

Maka demikianlah … selama tiga abad mandala Langkasuka berada di bawah pertuanan Funan. Dua setengah abad seterusnya menjadi jajahan Chenla yang telah menumbangkan Funan. Kini sudah lebih dua abad pula di bawah naungan Palembang Srivijaya. Setelah di serang dan ditakluk oleh bala tentera gabungan Srivijaya-Sailendra. Bala tentera yang dipimpin oleh para raja dan putera yang diri mereka sendiri asalnya berketurunan daripada Buddhagupta Maha Navika dan kalangan kaum kerabatnya di Amdan Negara!

Kini kita orang gunung! Kini mereka orang pulau! Janganlah mereka ingat bahawa anak gunung boleh diperkotak-katik oleh anak pulau dengan sewenang-wenangnya. Di antara anak gunung dan anak pulau sudah begitu sering bermusuh dan berdamai silih berganti sejak zaman-berzaman ... sungguhpun terbit asalnya daripada rumpun yang sama. Nenek moyang kita … kita rakyat Amdan Negara ini … adalah orang gunung. Bila kita terancam … kita undur ke gunung. Kerana gunung itu adalah pelindung dan benteng kita yang paling perkasa!

“Wei! Anak gunung ... kebal di gunung!” seorang anak muda berteriak.

Seperti yang hamba katakan … bukannya kita membenci semua orang Palembang. Mereka boleh merantau ke sini untuk berkelana seketika … malah untuk menetap selamanya dan menjadi rakyat Amdan Negara seperti kita … kita boleh menerima itu. Namun, jika mereka datang hendak menjadi pemerintah, penjajah dan penjarah … patutkah kita berela hati sepenuhnya dengannya?

“Tidak sekali-kali, Guru! Pantang tunduk di bumi sendiri!”

Ada yang berkata … apa salahnya kita yang lemah beralah kepada yang gagah … asalkan mereka melindungi kita … asal saja kita hidup sejahtera. Namun pada hamba … itu bererti memberi ganjaran kepada mereka hanya kerana tidak membunuh dan menganiaya lebih ramai lagi rakyat Amdan Negara. Pada hamba … itu hanya akan membuat mereka lebih menghina dan lebih memandang rendah terhadap kita semua … lalu mereka akan terus menindas dan mengganas sesuka hati mereka … bila-bila saja yang mereka suka.

“Benar itu, Guru!”

Maka hanya satu saja penyelesaiannya … penjajah mesti terus kita tentang … sehingga mereka akhirnya tumbang … walau apa sekalipun pengorbanannya!

“Kami bersedia, Guru! Kami rela berkorban jiwa dan raga!”

Maka ingatlah dema semua sentiasa … bahawa dema semua … sebagai anak-anak Langkasuka Maha Mandala … adalah putera bumi … bunga bangsa … sari pertiwi … pewaris seluruh Banjaran Titiwangsa. Maka … dengan itu … dema semualah juga harapan dan taruhan rakyat untuk berjuang mengembalikan kedaulatan negeri kita semua.

Sudah berkurun negeri kita dijajah dan dijarah ... maruah nenek moyang kita ternoda. Kini hampir menjelang tiba masanya kita ... cucu cicit mereka ... bangkit menyempurnakan tugas murni kita ... menentang, menumpas dan menyingkir golongan penjajah dan penjarah dari bumi ini! Berjuang itu ... tidak kita ketahui bila berakhirnya ... ataupun bagaimana kesudahannya. Namun tetap kita berjuang ... perit dan pedih tidak dipeduli ... penat dan lelah tidak dihirau ... jemu dan bosan tidak dilayan!

Negeri kita yang sekian lama tumbang … entah bila akan bangkit berdiri semula … iaitu Amdan Negara bumi tercinta. Hamba sentiasa berharap … dengan keperwiraan dan keberanian dema semua … satu hari nanti kita anak gunung akan berjaya menghapuskan anak pulau yang telah merampas tanah air kita … dan kita beroleh negeri kita kembali!!!

Demikian ucapan bernas Adhi Vira. Bermula dengan cerita berlatar sejarah purba … berakhir dengan pidato rancak menggalak sukma. Melontar kata-kata perangsang semarak kalbu.

“Hidup Amdan Negara!!!” bergema lantang suara anak-anak muda yang ramai itu seperti satu. Teruja jiwa mereka dan terghairah semangat mereka.

"Tapi ingat! Jangan sekali-kali dema sangka bahawa tempur dan perang yang sebenar di alam nyata itu suasananya sama seperti semasa pertandingan tempur yang baru dema saksikan. Ia lebih getir ... jauh lebih getir daripadanya."

"Bagaimana, Guru?"

"Di medan tempur dema akan terasa pelbagai macam perasaan datang membuak memuncak dengan tiba-tiba. Takut, bingung, jijik, cemas, kelam, megah, bangga, bimbang, ghairah akan bertubi-tubi silih berganti datang melanda. Bau dan bunyi maut akan menusuk hidung dan telinga dema. Namun sepanjang waktu itu dema tidak langsung boleh hilang tumpuan dan ketenteraman jauh di lubuk jiwa dema ... kerana itu akan membahayakan diri dema. Sedikit saja tersilap ... ataupun terlalai ... bererti nyawa dema melayang." Murid-murid Adhi Vira terdiam sejenak.

"Dema cuak?"

"Tidak, Guru!!!"

"Dema sanggup?"

"Sanggup, Guru!!!"

"Dema sedia?"

"Sedia, Guru!!!"

"Bagus! Bagus! Itulah semangat pahlawan yang perlu ada pada dema semua!"

§
Perguruan Adhi Vira sejak beberapa tahun kebelakangan dibantu oleh menantu dan orang kanannya Prabhava. Maka seni tempur yang diajari mereka memang serba lengkap. Menggabungkan segala jenis seni tempur yang telah dipelajari oleh kedua mereka sejak remaja hingga dewasa. Sama ada semasa mengembara di negeri orang, ataupun diajarkan kepada mereka oleh perantau mahupun pedagang yang mendatang ke tempat mereka.

Maka daripada Adhi Vira diperturun pencak silat dan main tongkat dari bumi Langkasuka dan pulau-pulau di seberang, boran dan bradal serey dari tanah Kemboja, serta bando dan leth wai dari negeri-negeri orang Mon di Dvara Vati dan Sudharma Vati. Oleh Prabhava pula diajar mukhti yuddha dari negeri Magadha, serta kalari payattu, varma kalai, kuttu varisai, silambattam, malyutham dan adithada yang dituntutnya semasa merantau di negeri Kerala.

Diperkenal juga oleh Adhi Vira sedikit sebanyak ilmu tempur san shou, chuan fa dan wu shu dari negeri China yang pernah dipelajarinya daripada kalangan perantau. Tidak ketinggalan juga seni tinju tendang spei leth, iaitu seni tempur Amdan Negara sendiri yang hampir serupa dengan leth wai, boran serta adithada.

Kebanyakan daripada murid-murid perguruan itu cuma pernah mendengar kisah samar daripada orang tua-tua tentang negeri nenek moyang mereka yang bernama Amdan Negara itu. Namun bagi mereka, tekad dan azam untuk menyumbang tenaga malah berkorban nyawa untuk menghidupkan kembali Amdan Negara tetap subur bersemarak segar bugar dan tidak pernah luntur atau pudar dalam diri mereka.

"Asas segala seni tempur adalah lawan tanpa senjata," ujar Adhi Vira.

"Mengapa pula begitu, Guru?" tanya seorang murid.

"Kerana ia sesuatu yang tercipta semula jadi pada setiap jenis hidupan yang bernafas dan bergerak."

"Misalnya, Guru?" tanya seorang murid.

"Ada orang yang mengajar lembu berlaga?"

"Tidak ada, Guru," jawab seorang murid lain. "Lembu pandai berlaga dengan tidak payah diajar. Dan laganya memang hebat."

"Dema pula lagu mana?" balas Adhi Vira. "Dema pandai bersilat atau bertinju tanpa diajar?"

"Tidak, Guru."

"Ya. Jelasnya ... manusia tidak seperti haiwan. Entah apa sebabnya. Mungkin kerana manusia sudah begitu lama ... sudah beribu-ribu tahun atau lebih daripada itu lagi ... belajar hidup berdamai tanpa perlu sentiasa bertempur sesama mereka. Maka manusia perlu dididik dan dilatih semula ... supaya menzahirkan kembali sesuatu yang memang sedia ada pada diri mereka ... supaya pandai semula bertempur tanpa senjata ... demi membela dan melindung diri ... serta keluarga, saudara atau sahabat ... apabila keadaan memerlukannya."

“Kini tiba masa yang dinanti-nanti,” Adhi Vira membimbing majlis tamat perguruan itu ke peringkat penghujungnya. “Iaitu … anugerah murid terbaik ... bagi musim ini!"

"Wei, wei!" anak-anak muda itu bersorak semula.

"Tempat ketiga ... dimenangi oleh ... Buluh Padu!”

“Wei! Buluh Padu!”

“Manakala … tempat kedua … jatuh kepada … Nibung Ulung!”

“Wei, wei!” mereka bertempik lagi.

“Syabas, Nibung Ulung!” seorang murid beteriak nyaring.

“Dan … akhirnya ... murid yang paling tekun ... paling gigih ... dan paling handal ... bagi tempoh sepanjang musim ini ... murid itu adalah ...”

“Wei, wei!” anak-anak muda itu semakin lantang bertempik. “Siapakah gerangan pemenangnya?”

“Pinang Jingga!”

“Wei, wei!” anak-anak muda itu berteriak lagi, kali ini tambah memuncak lagi gegak gempita suasana.

“Syabas, Pinang Jingga!” seorang daripada mereka melaung.

“Tahniah!” pekik kawannya.

“Kamu memang hebat!” tempik seorang lagi.

Adhi Vira sendiri seorang putera, pewaris Wangsa Dharmakusuma, iaitu kerabat diraja yang dulunya merajai negeri Amdan Negara. Namun di kalangan keluarganya, kerana sudah begitu lama tersingkir dari takhta, kini tidak lagi begitu ghairah untuk berbahasa dengan bahasa istana di antara sesama sendiri. Lagipun, seperti kata Adhi Vira, Wangsa Dharmakusuma sudah berkurun-kurun tersingkir dari istana sendiri, maka membuat mereka terasa janggal jika masih bertutur bahasa istana. Begitupun, sebagai zuriat golongan berdarjat, di kalangan keluarganya masih tetap menjaga maruah dan mertabat diri dengan sebaik-baiknya.

§
"Guru," seorang murid perguruan bersuara.

"Ya, Sulung. Dema ada suatu kemusykilan, kan?"

"Ada, Guru," jawab Sulung. "Umm ... bagiamanakah cara terbaik bagi kita ... untuk menghadapi seorang lawan ... supaya memberi diri kita kelebihan terbaik ... semasa bertempur dengannya?"

"Begini. Kamu biasa tengok pedati?"

"Biasa, Guru. Pedati Guru pun biasa hamba tumpang ... ikut bersama Pak Utih dan Pak Uda."

"Bagus. Roda pedati itu ... putarannya begitu ketara dan ligat sekali ... pada bahagian mana?"

"Pada birainya, Guru."

"Dan paling kurang nampak seperti bergerak ... di bahagian mana?"

"Pada bahagian tengahnya, Guru."

"Jadi, apakah ertinya itu?"

"Umm ... apa ertinya hah?" Sulung menggaru-garu kepalanya, kemudian berpaling kepada rakannya yang terdekat.

"Hei, Busu. Apa ertinya ... kau tau tak?"

"Eh, kamu ni," ujar si Utih. "Kamu yang ditanya ... kamulah yang jawab."

"Ertinya," Adhi Vira menyambung, "pusat roda itulah bahagian yang paling utama, punca yang memberi kekuatan, imbangan dan kemantapan kepada seluruh roda. Namun ia adalah bahagian yang paling tidak nampak pergerakannya."

"Maksud Guru?"

"Begitu juga, apabila seseorang pahlawan itu bertempur ... bahagian paling utama pada dirinya ... pusat dan punca imbangan, kemantapan dan kekuatannya ... adalah jiwanya. Maka, walau sepantas mana dan setangkas mana pergerakan tangannya, kakinya atau sebarang anggota tubuhnya yang lain ... jiwanya hendaklah sentiasa berada dalam keadaan paling damai dan paling tenteram. Sebaik-baiknya ... sedamai dan setenteram jiwa seorang petapa yang sedang begitu asyik bersemadi."

"Itu sesuatu yang sukar nak dibuat, Guru," ujar Busu pula. "Bila mula berlawan aja, biasanya kita akan jadi kecoh, gopoh dan kelam kabut."

"Memang ia bukan sesuatu yang mudah. Tapi ilmu yang tinggi itu biasanya hanya dapat dikuasai dengan usaha yang gigih. Kecoh, gopoh dan kelam kabut adalah tabiat keanak-anakan yang perlu dikikis secara beransur-ansur sehingga hapus sepenuhnya. Kerana semua itu tidak langsung mendatangkan sebarang faedah, sebaliknya hanya merosakkan kecekapan serta kelancaran permainan seorang pahlawan."

"Guru," seorang lagi murid bersuara.

"Ya, Taling," jawab Adhi Vira. "Sila kongsi kemusykilan dema"

"Ada kawan hamba yang kata ... kita perlu gedeber dan meta ketika bertempur. Betul ka begitu?"

"Memang betul. Gedeber dan meta itu melenyapkan gamam, waswas, kaku dan kelu. Maka ia boleh membuat kita berasa lebih berani, cergas dan bersemangat bila berdepan dengan lawan. Tapi ia hendaklah sejadi, terkawal dan padan dengan kemampuan."

"Maksud Guru?" tanya seorang murid lain.

"Dema perhati saja seekor ayam laga. Apabila ia bertemu lawan dan hendak berlaga ... lagu mana biasanya gayanya?"

"Umm ... ia menyerebehkan kepaknya ... meremangkan bulu tengkuknya ... menaikkan dadanya ... dan menegakkan tubuhnya," seorang murid menjawab. "Ekornya pula melentik kembang dan segak mencacak."

"Selain itu lagi?"

"Ia mencakar-cakar tanah ... mematuk-matuk rumput atau benda lain sebagai umpan ... seakan-akan mengajak lawannya itu datang menghampiri ... dan berkokok berderai-derai ... seperti mencabar lawannya."

"Tau pun dema. Itu semua adalah caranya ayam laga menunjuk gedeber dan meta ... supaya lawannya tau bahawa ia tidak gentar atau gerun untuk berlawan." 

§
Demak Sawo meninjau-ninjau kawasan rimba tebal di pertengahan jalan hutan menuju ke Gunung Sembatu. Jumlah pahlawan yang diberikan kepadanya kali ini agak ramai, mencecah angka seribu. Mereka berpecah kepada dua pasukan, sepasukan dipimpin oleh Demak Sawo sendiri, sepasukan lagi dikepalai oleh timbalannya, Kebo Laro.

Begitupun, tugas yang dipertanggungkan kepada mereka berdua terasa agak berat. Menghancurkan sebahagian besar anggota pasukan pembela, kini bergelar Angkatan Dharmakusuma, pimpinan Panglima Jati Perkasa.

Sudah beberapa lama Demak Sawo tidak bersua dengan mereka, selepas pasukan penyerang yang dipimpinnya ditentang sengit di tengah-tengah hutan oleh orang-orang Jati Perkasa kira-kira enam purnama yang lalu. Pejuang-pejuang pasukan pembela tidak lagi begitu mudah dibedal dan dibantai oleh pahlawan Palembang seperti di masa lalu, fikirnya. Keadaannya seperti sudah  terbalik, kini pahlawan Palembang pula yang merasa begitu resah dan cuak setiap kali pertempuran menjelang berlangsung.

Yang lebih merisaukan lagi fikiran Demak Sawo ialah kemungkinan pasukan pembela dibantu oleh gerombolan rakyat biasa yang tiba-tiba muncul entah dari mana arahnya. Sungguhpun hanya bersenjatakan cangkul, kapak, sadap, parang dan alatan tani lain yang ringkas, mereka berbekalkan semangat waja serta jiwa gedeber yang setanding dengan sebarang pahlawan Palembang.

Dalam terus mara ke hadapan diikuti oleh anggota pasukannya, Demak Sawo  terdengar bunyi siulan burung. Seakan-akan burung murai bunyinya, namun agak nyaring. Sejurus kemudian, terdengar lagi bunyi hampir serupa. Beberapa detik lagi, terdengar lagi di arah lain pula. Semakin lama kedengaran semakin kerap, semakin rancak dan semakin berselerak arah puncanya, seperti burung-burung itu semakin bertambah ramai dan bersiul bersahut-sahutan di antara mereka. Memang musim burung mengawan, Demak Sawo mengelamun.

Kemudian terdengar bunyi berdengung agak sayup di arah sisi, diikuti bunyi berdebus sesuatu benda melayang di udara. Sebaik Demak Sawo berpaling, sebatang panah hinggap di kepala seorang pahlawannya, menusuk dan menembusi hingga ke otaknya. Orang itu huyung seketika, lantas jatuh tersungkur menyembah bumi tanpa sebarang suara.

"Panglima!" seorang pahlawan lain berteriak nyaring. "Kita diserang!" Beberapa orang lagi pahlawan Palembang juga terkena tusukan panah lalu rebah tumbang seperti rakannya.

Ratusan panah kini terbang melayang berderai-derai dari pelbagai hala, menghujani pasukan pahlawan Palembang. Kini beberapa batang lembing pula mula mendatang, jatuh menghunjam bumi, batang pokok hutan atau tubuh orang.

"Kalian!!!" Demak Sawo bertempik lantang. "Ambil kedudukan berselerak!!! Cari tempat terbaik untuk bertahan!!! Dan balas balik serangan mereka!!!"

"Sialan!" Seorang pejuang lain mendengus. "Ku sangka burung, rupanya orang. Pejuang mereka rupanya yang bersiul-siul bersahut-sahutan sebentar tadi."

"Kurang ajar!" balas seorang rakannya. "Nanti ku amok bangsat-bangsat itu. Biar mereka terkencing terberak ku rembat dengan kelewangku ini."

"Aduh!" Seorang lagi pahlawan Palembang meraba-raba tengkuknya. "Ah! Apa ini?" Dia terkial-kial memetik sesuatu di tengkuknya, lantas mencabut benda itu darinya. "Ches! Mereka begitu bodoh! Mereka kira ... mereka boleh membunuhku ... dengan sebatang buluh tajam sebesar kenit seperti ..." Kemudian dia mula kelihatan huyung hayang pergerakannya.

"Hei, Baguk!" Pejuang pertama tadi menyergah. "Kau mabuk lagi? Kan aku dah kata tadi ... kalau nak masuk hutan ... jangan terlalu banyak menogak tuak sebelum bermula."

Si Baguk huyung hayangnya semakin lama semakin teruk, gumamnya semakin sukar difahami, pergerakannya semakin longlai, akhirnya dia rebah sepenuhnya ke bumi. Dia kesudahannya tertewas dengan penangan bisa getah pokok ipoh, disampaikan dengan pelenting buluh kecil yang yang dipertajam di satu hujungnya, kemudian direndam lebih seminggu dengan getahnya, lalu disumpit dengan penyumpit buluh.

Itulah hebatnya orang Pangan. Masyarakat keturunan kaum asal paling awal di bumi Amdan Negara, lebih gemar diam di rimba belantara, yang kini semakin ramai bilangannya menyertai angkatan pejuang pembela. Angkatan yang kini bergelar Angkatan Dharmakusuma, pimpinan Panglima Jati Perkasa.

§
Kebo Laro mula merasa semakin resah. Pasukan pimpinannya sepatutnya sudah bergabung semula dengan pasukan pimpinan Demak Sawo di tempat itu, untuk membuat susun rancang terakhir sebelum menyerang kubu angkatan pembela di kaki Gunung Sembatu. Namun sampai kini pasukan Demak Sawo tak kunjung tiba.

Sebatang lembing tiba-tiba melayang di udara, lalu jatuh terpacak di tanah beberapa depa darinya. Kelihatan seperti datangnya dari arah serimbun pokok semak berhampiran sebuah kawasan lapang di tengah hutan yang berlopak-lopak selepas hujan semalam-malaman. Beberapa detik kemudian dua batang lagi menyusul, satu demi satu, hampir dari tempat yang sama.

Atas arahan Kebo Laro, tiga puluh pemanah daripada pasukannya membuat serangan balas serta merta dengan panahan bertubi-tubi ke arah rimbunan tadi. Dia seterusnya mara bersama pasukannya ke arah rimbunan itu, setiap seorang daripada mereka mengenakan busar untuk memanah sambil melindungi diri dengan perisai kayu yang bersalut di sebelah luarnya dengan belulang badak, kepingan buluh dan anyaman kulit rotan.

Sejurus kemudian, terdengar bunyi sekumpulan haiwan dengus-mendengus berbalas-balas, bunyinya semakin lama semakin bertambah nyaring, dari arah rimbunan pokok semak tadi. Kebo Laro terdiam sejenak.

Berpuluh ekor babi hutan jantan kemudiannya meluru keluar ke arah gerombolan pahlawan Palembang itu. Haiwan itu bengis-bengis belaka gayanya, besar-besar pula tubuhnya. Sumbu haiwan itu masing-masing besar tajam, kesemuanya melepasi paras pinggang Kebo Laro. Pahlawan-pahlawan itu lantas lari bertempiaran memecut-mecut, termasuk Kebo Laro sendiri, masing-masing cuba mengelak daripada disondol dan disumbu.

Di antara mereka ramai yang tidak sempat melepaskan diri. Yang tergelincir dan terjatuh terus disondol, disumbu dan digigit bertubi-tubi, sampai cedera parah. Koyak rabak betis, paha atau buntut mereka. Malah ada yang terburai perutnya.

Yang lain pula dalam kelam kabut terjerumus ke dalam lubang jerangkap samar, di dalamnya terpacak ranjau bebatang kayu, rotan, atau nibung yang dipertajam, dilitupi dengan reranting dan dedaun kering bersama pelepah kelapa atau pinang dan reranting buluh.

§
Demak Sawo menggagahkan diri untuk terus memimpin saki-baki pasukannya mara ke arah kubu musuh. Jumlah pahlawannya kini tinggal hanya dua pertiga daripada jumlah asal. Semakin jauh ke hadapan dia melangkah, semakin lesu terasa seluruh tubuhnya.

Bunyi berdebus layangan panah kedengaran lagi. Kali ini orang-orangnya sempat mengambil tempat bersembunyi dan bertahan. Sejurus kemudian, segerombolan kecil pejuang pembela menonggang kuda, lembu dan kerbau muncul menjelma entah dari mana, diiringi oleh beberapa pejuang berjalan kaki. Belum sempat Demak Sawo dan orang-orangnya bertindak, musuh-musuh mereka menggempur mereka sambil menonggang kencang dan memanah atau melontar lembing.

Apabila sudah bertembung, pejuang tempatan itu merembat pula dengan tombak, pedang, golok dan kelewang, atau terus merempuh dan melanyak orang-orang Demak Sawo dengan haiwan tonggangan mereka. Sedang Demak Sawo dan pasukannya kecoh berusaha menyusun dan memulih semula barisan yang sudah berterabur, penyerang-penyerang mereka sudah mula beredar sambil terus memanah dan melontar lembing. Geram Demak Sawo naik membuak-buak, membuat seluruh tubuhnya menggeletar.

Gerombolan pejuang tempatan yang menonggang haiwan kelihatan meliung jauh meminggiri sebuah kawasan belukar yang nampak seperti agak lapang di bahagian tengahnya, manakala rakan mereka yang berjalan kaki meluru lurus melalui kawasan belukar itu.

"Wei! Kita bergabung semula di tempat biasa!" laung seorang penonggang lembu kepada rakan-rakannya yang lari memecut-mecut ke arah tengah belukar. 

Demak Sawo lantas memerintah orang-orangnya berlari kencang melintasi belukar itu. Jangkanya hendak memintas musuh-musuh mereka yang tidak begitu ramai bilangannya. Hasrat jitunya ingin memerangkap dan mengepung gerombolan penonggang haiwan itu dengan pasukannya yang masih jauh lebih ramai dan menghancurkan mereka sepuas hati.

Hairannya, pejuang pembela yang berlari memecut-mecut tadi tiba-tiba hilang lenyap begitu pantas dari pandangan. Seperti jembalang hutan mereka meghaibkan diri. Entah apa pula muslihat mereka kali ini, fikir Demak Sawo.

Dalam pasukan Demak Sawo berlari melintas tempat berkenaan, sekumpulan besar seladang jantan liar meluru keluar daripada suatu kawasan berpokok yang redup, lantas menggempur dan merempuh mereka. Orang-orang Demak Sawo berpatah arah dan lari berkeliaran dalam kelam kabut ke pelbagai hala untuk menyelamatkan diri daripada rempuhan, tandukan dan rembatan haiwan perkasa serta bengis bengkeng itu.

Rupa-rupanya kawasan itu tempat kediaman sekawanan seladang hutan yang kebetulan ketika itu sebilangan besar daripada seladang betinanya beranak kecil. Maka seladang jantannya menjadi jauh lebih bengis dan ganas daripada biasa, kerana naluri pelindungnya yang kini naik memuncak. Lalu ramailah daripada anggota pasukan Demak Sawo yang tidak sempat melepaskan diri menjadi habuan kemarahan haiwan itu.

§
Setelah pasti melalui isyarat siulan sahut menyahut seperti burung bahawa musuh-musuh mereka telah beredar cukup jauh, barulah pasukan penyerang hendap yang bersembunyi di atas pokok-pokok besar berdaun lebat itu turun semula. Sejurus kemudian, rakan-rakan mereka yang menonggang lembu, kerbau dan seladang tiba untuk bergabung semula dengan mereka.

Demikianlah, anggota angkatan pembela semakin hari semakin cekap bijak serta yakin diri. Handalnya mereka di medan tempur, sering kali bersenjatakan sekadar batang kayu, batang rotan atau batang nibung, malah kekadang tanpa sebarang senjata lalu merampas senjata lawan kemudian membunuh mereka dengannya. Maka kini itu semua menjadi bahan bual rakyat negeri yang berbari dengan megah bangga ketika melayani para saudagar dan perantau yang berkunjung ke Bukit Panau dan kawasan bersekitar.

Apa pula tidaknya, tidak seperti dahulu, pejuang-pejuang itu kini mendapat latihan khas secara tetap dan rapi dalam pelbagai jenis seni tempur daripada beberapa orang pendekar hebat, ketuanya Panglima Jati Perkasa. Maka penduduk tempatan pula semakin lama semakin ramai yang menghantar anak-anak atau adik-adik mereka untuk berguru di perguruan Gunung Sembatu.

§
980 Masihi, Bukit Panau, di bumi yang bernama Amdan Negara.
Biduk Bota duduk bersandar di kerusi empuk berbantal kekabu berbungkus kain sutera Cina di balai tamu Mahligai Gemilang Sakti. Mahligai yang dulunya bernama Mahligai Dharmakusuma. Istana itu kini terasa semakin lama semakin selesa baginya. Alangkah eloknya jika dia dapat menghuni istana itu hingga ke akhir hayatnya. Kalaulah dia dikurniakan seorang anak lelaki, pasti anak itulah yang akan mewarisi Mahligai Gemilang Sakti daripadanya suatu hari nanti. Alangkah eloknya kalau dia dapat mengahwini seorang wanita tempatan yang ayu jelita, fikirnya. Namun perkembangan terbaru mengganggu lamunannya. Dia mengunyah-ngunyah sisa-sisa sirih berkapur yang masih ada di dalam mulutnya.

“Tuan Biduk,” panglima utama bala tenteranya, Demak Sawo, yang baru muncul terus duduk bersila menghadapnya. “Tuan mahu berjumpa hamba?”

“Bodoh!!!” tempik Biduk Bota, mukanya merah padam hingga ke cuping telinganya, matanya menyilau berpinar-pinar, menjergil ke arah orang itu. “Kamu semua bodoh!!! Sudahlah bodoh, dayus pula!!!

“Tapi ... Tuan Pembesar ...” Demak Sawo bersuara, dengan nada agak layu.

“Tapi apa???” Biduk Bota terus menyergah. “Lima ratus lebih pejuangku yang terbaik ku berikan kepadamu … untuk menghancurkan angkatan pemberontak di pergunungan … namun yang kamu bawa kembali bersamamu tak sampai tujuh puluh orang pun!!!”

“Orang-orang mereka terlalu pintar berjuang dan ...”

“Dan apa lagi??? Dan kamu dan orang-orangmu terlalu dungu, bukan?”

“Ti ... tidak ... Tuan. Maksud hamba ... ... setiap pahlawan mereka berlawan seperti ... seorang putera dewa perang ... dan ... menentang mereka seperti ... seperti ... menentang hantu ... Tu ... Tuan.”

“Memang betullah kamu ini ... rupanya kamu lebih biul lagi daripada yang ku sangka selama ini. Adakah kamu dan orang-orangmu berlawan dengan manusia ataupun jembalang hutan???

“De ... dengan manusia ... Tuan.”

“Maka … kalau mereka manusia ... bagaimanakah pula mereka bisa berperang seperti hantu???”

“Be ... begini ... Tu ... Tuan. Mereka sentiasa bersembunyi ... mereka menyerang, menghambur serta membunuh orang-orang kita ... secara curi. Mereka dapat melihat kami ... tapi ... kami tidak dapat melihat mereka.”

“Lalu di manakah mereka itu bersembunyi?”

“Di dalam gua ... di dalam parit atau lubang besar yang mereka gali ... di lereng bukit ... di lembah sungai ... di belakang bongkah batu besar ... di sebalik pokok-pokok hutan yang berbatang besar dan berdaun lebat. Mereka begitu cekap memanjat pokok bagaikan beruk. Sering juga ... mereka bersembunyi di atas pokok-pokok itu ... dan ... mereka menyerang orang-orang kita yang berada di bumi ... dengan panah ... tombak ... lembing ... dan juga sumpit yang punya peluru beracun bisa. Atau mereka terus menghambur ke bawah dari atas pokok lantas melanyak kita habis-habisan. Orang-orang kita juga kerap terjatuh semasa berundur ke dalam perangkap lubang berpacak ranjau yang dilindungi dengan reranting kayu serta dedaun pokok dan pelepah kelapa.”

“Begitu sekali?”

“Benar, Tuan Biduk,” Kebo Laro, timbalan kepada Demak Sawo, memberanikan dirinya bersuara, cuba menyokong penjelasan ketuanya. “Orang-orang mereka juga amat handal bertempur tanpa senjata. Mereka membunuh dan mencederakan sebilangan agak ramai daripada pejuang kita dengan hanya bersenjatakan tangan dan kaki mereka yang keras seperti kayu, juga kepala mereka. Apatah lagi bila menggunakan potongan batang kayu, rotan, nibung atau pinang sebagai tongkat.”

“Mereka menggunakan kepala mereka untuk bertempur?”

“Ya, Tuan,” sambung Kebo Laro. “Hantukan kepala mereka seakan tandukan kerbau jantan yang naik berang. Mereka menghantuk kepala mereka ke muka atau dada lawan mereka … seterusnya merembat semula ke arah sisi atau atas … ke rahang atau dagunya. Ramai orang-orang kita yang patah hidung dan hancur remuk rahangnya atau dagunya dengan cara begitu ketika bertempur dengan mereka.”

Biduk Bota terdiam sejenak. Ternyata pejuang Amdan Negara kini semakin bijak dan handal, fikirnya.

“Begitupun … ramai yang lain daripada mereka kini ... bersenjata lengkap dan canggih ... serta tangkas serangan mahupun pertahanannya ... tidak lagi seperti dulu,” Demak Sawo meneruskan. “Sekali sekala ... bila orang-orang kita berada di kawasan lapang ... mereka menggempur pula dengan pejuang berkuda yang begitu pantas pergerakannya. Panglima-panglima mereka juga ... memakai ... baju perisai ... yang ... tidak lut oleh senjata.”

“Malah, orang-orang kita juga pernah terpedaya oleh mereka supaya melintasi sebuah kawasan kediaman sekawanan seladang liar, beberapa ekor daripadanya ibu seladang beranak kecil,” Demak Sawo menyelit. “Maka berpuluh pejuang kita terkorban sekaligus ketika itu bahana dirempuh dan ditanduk seladang berang yang mengamuk mengganas.”

“Kurang ajar!!!” pembesar itu semakin membuak-buak kemarahannya. “Biar aku sendiri yang ke sana nanti. Akanku ajar mereka cukup-cukup. Baru nanti mereka tahu siapa Biduk Bota!”

“Bagai … bagaimana … kalau kita melangsungkan … upacara korban … untuk memuja dan menyeru … Naga Sakti Muna dan Dewi Sungai?” Demak Sawo mengajukan cadangannya. “Mungkin mereka boleh membantu kita … untuk menundukkan … Angkatan Dharmakusuma yang sedang naik daun itu.”

“Memang jelas!”  Biduk Bota menjebih. “Bukan saja kau bodoh … tapi kini kau juga sudah hilang akal! Mungkin kau telah tertinggal otakmu di hutan Gunung Sembatu tempoh hari. Sudah berabad tiada sesiapapun yang pernah melihat kelibat Naga Sakti Muna ataupun Dewi Sungai."

"Tapi Tuan ... apa salahnya ... kalau kita ..."

"Tiada tapinya lagi! Itu semua hanyalah dongeng karut orang tua-tua belaka … mereka yang mabuk terbuai-buai dalam alam khayalan mereka sendiri! Dan kalaupun, kalau sekalipun, katalah, Naga Sakti Muna dan Dewi Sungai itu muncul, bukankah mereka itu pembela dan pelindung seluruh bumi Langkasuka ini? Maka mereka kemungkinan besar akan membantu rakyat tempatan. Mereka akan menghancurkan kita. Bodoh!!!”

Demak Sawo menundukkan mukanya, matanya terpaku ke lantai.

“Ini! Ini Dewa Sungai!” Biduk Bota mendabik dadanya. “Dan lihat ini! Golok saktiku ini yang akan memenggal kepala Adhi Vira dari tubuhnya … dan menamatkan penentangan angkatan pemberontak pimpinannya itu!”

§

No comments:

Post a Comment