Friday, May 27, 2011

Bab 16: Perang Bukit Panau

Keli bukan sebarang keli,
Keli di paya pantas biaknya;
Tari bukan sebarang tari,
Tari perwira tangkas geraknya.

Upih tidak sebarang upih,
Upih rumbia halus durinya;
Kasih tidak sebarang kasih,
Kasih pembela setulus hatinya.

Buah bukan sebarang buah,
Buah delima nian lazatnya;
Sembah bukan sebarang sembah,
Sembah panglima hebat taatnya.

Beris tidak sebarang beris,
Beris di kuala jingga warnanya;
Bengis tidak sebarang bengis,
Bengis kesatria padat mulianya.
988 Masihi, di negeri bernama Amdan Negara
Angkatan pembela sentiasa berselindung di sebalik hutan tebal dan bukit bukau sebagai benteng semula jadi yang sukar ditembusi. Tentera Biduk Bota sering kali terperangkap oleh serang hendap mereka di kawasan lapang, mengalami kemusnahan besar setiap kali mereka muncul di kubu pihak pembela di kawasan pergunungan.

Seperti dirancang, di peringkat terakhir Angkatan Dharmakusuma berpecah kepada tiga pasukan. Pasukan Naga Sakti Muna, Pasukan Dewi Sungai dan Pasukan Kuda Semberani. Mereka menunggu dengan sepenuh sabar di pangkalan masing-masing untuk membuat serangan mengejut ke atas kubu musuh di Bukit Panau. Serangan yang bakal dibuat tatkala dinihari, beberapa detik menjelang waktu fajar menyinsing, bergerak dari lima penjuru, pada hari yang paling sesuai.

Pasukan Naga Sakti Muna, terdiri daripada segerombolan pejuang terlasak dan terhandal pimpinan Adhi Vira sendiri, dengan dibantu oleh Buluh Padu, bersembunyi selama dua bulan di kawasan rimba. Kedudukannya hampir tiga persangga, iaitu kira-kira sepagi perjalanan, ke hala belakang dari Mahligai Gemilang Sakti. Istana yang telah ditukar nama oleh Biduk Bota daripada nama asalnya, Mahligai Dharmakusuma, dan menjadi markas Biduk Bota dan konco-konconya di Bukit Panau.

Pasukan Naga Sakti Muna bersembunyi di atas pokok-pokok besar berdaun lebat. Di siang hari mereka berehat ataupun tidur. Tiba malam baru mereka turun untuk mencari makan atau berlatih juang.

Sisa makanan dikambus rapi di dalam tanah, kemudian dilitupi dengan reranting dan dedaun kering, agar tidak ketara. Latih tempur hanya dibuat dalam cahaya bulan. Atau cuma menggunakan obor sekecil mungkin agar tidak mudah kelihatan dari jauh. Dibuat tanpa senjata untuk mengelakkan gemerincing nyaring senjata berlaga.

Adhi Vira sendiri berkediaman di atas sebatang pokok tualang yang amat besar, tingginya kira-kira empat puluh depa. Pokok itu diperasap di beberapa tempat terlebih dahulu untuk menghalau lebah madu yang memang gemar bersarang di dahan dan rantingnya. Lalu madunya pula diambil dibuat bekalan, dinikmati bersama oleh para pejuang, dilumur pada ubi bakar ataupun daging burung atau daging ayam hutan yang dipanggang. 

Dalam pada itu, sebilangan kecil anggota Pasukan Naga Sakti Muna menyamar diri sebagai penduduk kampung. Secara senyap-senyap memantau pergerakan serta tabiat perilaku Biduk Bota dan orang-orangnya, terutamanya di waktu malam, menanti dengan sabar dan tabah waktu yang tepat untuk menyerang mereka.

Sepanjang tempoh itu, di antara Adhi Vira yang berpangkalan di rimba dan Kembang Seri Wangi serta Prabhava yang berada di kubu rahsia sementara di Krai sentiasa berhubung. Mereka menggunakan haiwan khas yang terlatih secukupnya sejak kecil untuk menyampaikan isyarat atau maklumat rahsia. Merpati utusan atau tupai nandung membawa perutusan di siang hari, dan musang atau burung hantu di waktu malam. Manakala rubah dan serigala pula boleh disuruh membawa perutusan pada bila-bila masa yang perlu.

§
Rembulan mengambang bersinar penuh berseri, menyuluh cahaya gilang-gemilang ke seluruh kota. Bulatnya begitu sempurna, bak lukisan sang pelukis. Birainya tajam menyerlah, seperti mata pedang yang baru diasah. Awan gemawan menyimpang memberi laluan kepadanya, bagaikan para inang perwara menyimpang memberi laluan kepada sang puteri.

Sudah sehari semalaman orang-orang Biduk Bota beriang gembira menikmati pelbagai upacara keraian di hari pesta mengetam. Kini tubuh mereka semakin lama terasa semakin lesu, alam mimpi menggamit melambai-lambai. Tepat seperti dijangka oleh kumpulan perisik yang menyamar sebagai penduduk kampung hingga ke detik terakhir, laporan mereka disampaikan kepada ketiga-tiga pasukan melalui merpati utusan.

Detik yang ditunggu-tunggu oleh Angkatan Dharmakusuma kini hampir menjelang tiba. Pasukan Dewi Sungai, dipimpin oleh Kembang Seri Wangi, dibantu oleh adiknya Pinang Jingga, berhimpun di seberang sungai. Mereka seterusnya berpecah kepada dua ketumbukan, satu ke arah hulu dari Mahligai Dharmakusuma, satu lagi ke arah hilir darinya. Setiap ketumbukan duduk berbaris-baris di sisi puluhan perahu panjang yang amat pantas luncurannya.

Kembang Seri Wangi rupanya memiliki bakat memanah semula jadi yang sungguh hebat. Dia membawa busar bersama kelongsong panahnya ke mana-mana sahaja yang dia pergi. Malah ketika tidurpun dia tidak berenggang dengannya, hingga senjata itu menjadi seperti sebahagian daripada anggota tubuhnya sendiri. Barang apa sahaja yang boleh dibidik menjadi sasarannya bila datang anginnya. Unggas di udara, ikan di air, haiwan buruan di hutan, buah-buahan di pokok serta berbagai lagi.

Kehandalannya yang begitu menyerlah mula mengagumkan bapanya sendiri beberapa bulan selepas dia pertama kali mengajar anak gadisnya itu. Kini Kembang Seri Wangi seorang pemanah cekap yang tiada tandingnya. Panah yang dibidiknya boleh mengenai sebiji buah kedondong bersalut kapur yang dilambung ke udara pada jarak dua puluh depa darinya. Maka kepimpinannya selaku ketua Pasukan Dewi Sungai sebagai pasukan pemanah sedikitpun tidak dipertikai. Pasukan pemanahnya kini rata-rata berupaya menarik, membidik dan melepaskan sebatang panah dengan sebaiknya setiap tiga degupan jantung.

Kembang Seri Wangi berdiri tegak, memerhati keadaan sekeliling. Pejuang pimpinannnya berbaring bergelimpangan, menunggu masa untuk bergerak sebaik sang bulan terbenam di ufuk, jangkanya enam penanak nasi sebelum ayam berkokok dengan tibanya dinihari. Uja bercampur gelisah membuat sukar bagi mereka untuk berehat santai ataupun tidur seketika. Ada yang mengunyah-ngunyah sirih sekapur atau dedaun hutan tertentu sebagai penenang hati atau penyegar tubuh.

Pasti ada di antara mereka, entah siapa dan entah seramai mana, yang dalam sedikit masa lagi sudah tiada di dunia ini. Namun mereka sudah nekad untuk menyabung nyawa menentang penjajah durjana, mereka tidak peduli itu semua lagi. Maka kebanyakan mereka hanya memerhati, berdiam diri, cakera yang terang gemilang di angkasa itu terus menghanyut perlahan.

Kembang Seri Wangi sendiri telah belajar daripada seorang petapa petua terbaik untuk mententeramkan jiwa yang resah dan memperoleh tumpuan yang jitu serta jernih. Dengan memberhentikan sepenuhnya sebarang pergerakan di seluruh tubuh, kemudian memperlahankan sebarang fikiran atau khayalan yang bermain di kalbu, membiarkan ia bergerak damai bebas tanpa terhalang atau dipaksa-paksa, laksana air yang mengalir sejadi. Kini ilmu yang pernah dianggapnya remeh lagi aneh itu terasa begitu berharga baginya. Akhirnya waktu yang ditunggu-tunggu tiba jua.

§
Serangan pemula dibuat oleh Pasukan Dewi Sungai secara mengejut dari seberang sungai. Seperti dirancang, pasukan berpecah dua, lalu bergerak serentak dari dua arah, satu dari hulu, satu lagi dari hilir.

Dua ketumbukan menyerbu dan menyerang Mahligai Gemilang Sakti yang menghadap sungai dari dua arah secara menyilang. Gerombolan pimpinan Kembang Seri Wangi sendiri mendarat di arah hulu sungai. Manakala gerombolan satu lagi, dipimpin oleh Pinang Jingga, bergerak dari arah hilir.

Manakala setiap buah perahu dan sampan milik pihak Biduk Bota telah dirungkai tali tambatannya dan dibawa lari ke seberang sungai, oleh penduduk tempatan yang bekerjasama dengan angkatan pembela, ke arah hulu sejurus sebelum serangan pertama dilakukan.

Para pengawal yang sepatutnya berjaga-jaga penuh waspada di barisan pondok menara kawalan atau di serambi dan kawasan tangga Mahligai Gemilang Sakti, kebanyakan mereka sama ada tersandar liuk lentok dan menguak-nguak mengantuk ataupun sudah tersadai di lantai, berbuai enak di alam mimpi. Semuanya kenyang, mabuk dan kepenatan selepas sakan benar berpesta ria sehari semalaman.

Selepas minum tuak bercupak-cupak, kemudian bersuka ria dengan gadis tempatan yang telah mereka jadikan wanita penghibur secara paksa, tubuh mereka kini letih lesu dan lemah longlai tidak bermaya lagi. Di kalangan mereka, kerana sudah terlalu banyak menogak tuak, terdengar sendawa nyaring yang hampir berterusan, sekejap di sebelah sana, sekejap di sebelah sini. Ada di antara mereka hingga termuntah-muntah.

§
Isyarat pertama tanpa suara, gerak tangan meniru layangan panah, diberi oleh Kembang Seri Wangi tatkala kedua ketumbukan berada kira-kira empat puluh depa dari barisan menara kawalan. Tiga ratus pahlawan berdiri mengiring, mengenakan anak panah pada busarnya, memegang teguh batang busar dengan sebelah tangan, kemudian menarik tali busar dengan tiga jejari tangan sebelah lagi. Mereka mengenyit sebelah mata, membidik sasaran, lantas melepaskan tali busar.

Tiga ratus busar bersenandung, dengung getaran talinya terdengar lunak merdu di telinga memukau jiwa. Tiga ratus panah melayang, membetung dari dua hala, bunyi berdebus anak panah meluncur di udara sungguh mengerikan, namun merangsang jiwa pemanah.

Isyarat demi isyarat diberikan. Dengan setiap isyarat, tiga ratus tali busar menari berdendang, tiga ratus panah berdebus terbang melayang. Hujan panah berderai-derai di udara, matanya mencari, menemui, menghunjam dan menembusi tubuh-tubuh yang berdiri namun tidak sedikitpun menyedari. Satu demi satu, tubuh-tubuh itu huyung-hayang, seterusnya tumbang kecundang, sekali sekala diiringi jerit pekik dan raung sakit yang lantang berkumandang.

Ada pejuang musuh yang terjaga mendengar jerit raung kumpulan pengawal. Mereka meluru keluar dari pangkalan utama masing-masing untuk memberi tentangan. Namun hujan panah daripada Pasukan Dewi Sungai tidak langsung menghiraukan mereka. Seorang demi seorang mereka tumbang, rebah menyembah bumi.

Sambil mara Pasukan Dewi Sungai terus membidik, memanah, memusnah. Lolong raung musuh yang terkena panah hanya tambah menguja dan menyemarak lagi semangat perwira yang kini membuak-buak meruntun diri setiap pejuang pembela.

Pihak musuh kini haru-biru, hiruk-pikuk, kelam-kabut dan porak-peranda sepenuhnya. Maka tercapailah kini matlamat utama Pasukan Dewi Sungai. Tugas dan peranan mereka tertunai dengan sebaiknya.

§
Pasukan Naga Sakti Muna seterusnya muncul menyerbu dari arah hutan. Tempik perang angkatan pembela semakin lama semakin lantang bergema di udara, terus membangkitkan dan memuncakkan semangat perwira di kalangan pahlawan mereka sendiri. Sebaliknya membuat semakin cuak dan semakin gementar pihak musuh.

Demikian bengisnya Pasukan Naga Sakti Muna menggempur dan membunuh sebahagian besar pahlawan musuh yang keluar lintang pukang dari dalam Mahligai Gemilang Sakti. Melumpuhkan hampir sepenuhnya kemampuan bala tentera Biduk Bota untuk menyerang balas dengan baik. Maka kebanyakan pejuang musuh itu terbunuh ketika terkejut bangun daripada tidur yang amat nyenyak, selepas seronok beriang gembira dari pagi hingga ke malam.

Saki baki bala tentera Biduk Bota kini bercelaru berterabur. Mereka masih mampu bertempur, tetapi tidak dalam keadaan teratur dan terarah. Dalam mereka terkial-kial menentang balik dalam keadaan terpinga-pinga, Pasukan Kuda Semberani pula muncul mengasak dan menghimpit dari kawasan tebing sungai, dari arah kiri dan kanan Mahligai Gemilang Sakti yang menghadap ke sungai kedudukannya.

Gerombolan penonggang kuda, lembu, kerbau dan seladang itu, dipimpin oleh Prabhava dengan dibantu oleh Nibung Ulung, merempuh dan menggempur saki-baki pejuang musuh yang entah bagaimana masih terselamat daripada serangan ataupun terlolos daripada kepungan, bagaikan harimau lapar yang membaham bersih segala sisa daging mangsa yang masih ada.

Musuh yang bertempiaran digodam, dirembat, ditebas dan dilibas dengan seganas-ganasnya oleh Pasukan Kuda Semberani. Pejuang musuh yang jatuh tersungkur, tersembam atau terlentang dipijak-pijak dan dilanyak-lanyak oleh kuda, lembu, kerbau dan seladang yang kini juga kelihatan naik berang, seperti haiwan-haiwan yang cekap terlatih itu juga sudah terasuk oleh angin perang. Ternyata, haiwan-haiwan itu juga mempamerkan daya tempur dan daya musnah yang memberangsangkan, jauh melebihi segala jangkaan.

Ketika gempuran penyudah menjelang dibuat oleh Pasukan Kuda Semberani dengan hebatnya, Pasukan Naga Sakti Muna dan Pasukan Dewi Sungai membuka ruang untuk memberi laluan dan menyusun semula barisan pasukan sendiri, keduanya bergerak secara bersepadu untuk melingkungi sepenuhnya pihak musuh. Lalu barang sesiapa sahaja pejuang Biduk Bota yang masih lolos dari terjahan akhir oleh Pasukan Kuda Semberani, mereka tetap tidak terlepas diri daripada rembatan Pasukan Naga Sakti Muna ataupun panahan Pasukan Dewi Sungai.

Maka demikian pahlawan musuh diradak, dilibas dan ditebas dengan pedang, golok, tombak atau kelewang. Yang dekat ditikam atau dirembat dengan keris, kerambit atau pisau belati. Yang jauh dilontar lembing yang menghunjam kejam tubuhnya atau dilayang panah yang menusuk badannya.

§
Tawaran Adhi Vira kepada dua anak angkatnya, Pinang Jingga dan Nibung Ulung, untuk membantu memimpin pasukan masing-masing diterima dengan sepenuh bahagia oleh keduanya. Bak kata orang, bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Kerana kedua ibu bapa mereka masing-masing dianiaya begitu rupa dan dibunuh oleh Biduk Bota semasa pemberontakan penduduk kampung menentang kenaikan cukai laluan sungai yang tinggi melampau. Peristiwa zaman kecil yang tidak mungkin dilupakan oleh kedua mereka hingga ke bila-bila.

Hasil serangan peringkat awal Angkatan Dharmakusuma secara keseluruhan menakjubkan pihak Adhi Vira sendiri kesan serta kejutannya. Sungguhpun perancangannya memang teramat rapi, tidak disangka pula ia membuahkan hasil memberangsangkan mengatasi sebarang dugaan.

Mulanya Angkatan Dharmakusuma menyangka menerima tentangan hebat. Kesudahannya, sebahagian besar bala tentera Biduk Bota berjaya dimusnahkan tatkala lari bertempiaran dalam penuh kebingungan dan kelam kabut. Hasil daripada latihan perang yang lasak dan kental, rancang cara yang kemas lagi bijaksana, serta senjata yang cukup lengkap dan bermutu tinggi di pihak angkatan pembela. Tidak kurang juga kerana keyakinan dan semangat di kalangan anggotanya, yang jelas jiwanya terangsang dan tergalak oleh kisah Naga Sakti Muna, Dewi Sungai dan Kuda Semberani.

Begitupun, gemerincing pelbagai senjata yang saling berlaga berkumandang di seluruh pekarangan Mahligai Gemilang Sakti. Tusuk ditangkis dengan tetak. Libas bertemu sangga. Radak berlawan rembat. Bercampur baur dengan tempik pekik, deram aum dan gedehem gedaham ramainya pahlawan yang sengit bertempur. Bunyinya kedengaran lantang hingga jauh ke seberang sungai.

Pukul dielak. Tikam dikilas. Serang dibalas. Perisaipun kadang kala diguna sebagai senjata bila perlu, menghentak muka atau kepala lawan, ataupun merembat dan mematah tengkuknya. Tubuh-tubuh bergelimpangan, darah bertakungan. Bau hanyir, hancing dan busuk bangar yang terbit daripada darah, najis atau muntah pahlawan yang cedera atau gugur menusuk hidung semua.

Demikianlah suasananya sebuah medan pertempuran. Tidak indah, tidak kemas, seperti terungkapkan oleh sarjana atau pendeta. Tidak elok untuk mata yang memandang, tidak harum buat hidung yang menghidu, tidak lunak bagi telinga yang mendengar. Tetapi sebaliknya, amatlah buruk, hingar-bingar dan hiruk-pikuk, kotor, kejam, mengerikan serta menjijikkan.

§
“Wahai Putera Adhi Vira!” bergema lantang suara garau Biduk Bota. “Hari ini aku tiada pilihan lain lagi … selain mengakui dan mengagumi kehebatan angkatan pemberontak pimpinanmu.”

“Lalu tiba masanya untuk kau dan sekerat dua saki baki orang-orangmu … iaitu mana-mana yang masih bernyawa … menyerah diri sebelum kamu semua diseksa dan dibunuh sesuka hati oleh orang-orangku. Biarku belenggu dan sumbat kamu semua ke dalam rumah pasung. Sebelum ku beri hukuman yang setimpalnya.”

“Tidak. Tidak semudah itu, Adhi Vira. Kami orang Palembang. Pahlawan Palembang tidak begitu gampang menyerah kalah. Maka, di hadapan seluruh khalayak ini, aku Biduk Bota mencabar kau dan pengikut-pengikutmu bertarung satu lawan satu. Lima pahlawan terbaik dari pihakmu menentang lima yang terhandal dari pihakku. Siapa yang menang mendapat semuanya sebagai ganjaran. Kalau pihakmu yang kecundang, aku memenangi segala-galanya, termasuk puterimu yang cantik manis itu.”

“Hei!!! Bangsat biadab!!!” Prabhava menjerkah. “Dia isteriku!!! Lebih baik kau jaga mulut celuparmu itu, bedebah!!!”

“Diam kau!!! Anjing Bhanggala!!!” balas Biduk Bota. “Dasar dagang merempat. Orang sepertimu tidak layak langsung memiliki seorang wanita sepertinya! Dan kau Adhi Vira … Panglima Jati Perkasa … Dewa Gunung. Kalau kau dan orang-orangmu anak jantan sejati … terimalah cabaranku ini.”

Di antara Adhi Vira, Prabhava dan tiga Panglima Muda, dua daripada mereka juga anak angkat Adhi Vira, saling pandang memandang.

“Ayah!” Prabhava bersuara. “Jangan dilayan cadangan si gila itu. Kita berkas saja dia dan saki-baki pengikut-pengikutnya … dan kita hukum mereka dengan hukuman yang setimpalnya.”

“Ya, Ayah!” sampuk Nibung Ulung. “Dia sudah kurang siuman. Sudah mati akal. Kita tidak perlu berunding dengannya lagi.”

“Wawa! Nibung!” balas Adhi Vira. “Adakah dema berdua juga masih meragui kemampuanku? Dan kemampuan dema sendiri?”

“Tidak, Ayah,” Pinang Jingga menjawab pantas. “Sedikitpun tidak.”

“Baiklah, Biduk Bota,” Adhi Vira menoleh kembali kepada musuh ketatnya. “Dengan bersaksikan khalayak rakyat yang hadir di sini … dengan bersaksikan gunung, bukit, sungai dan angin di wilayah ini … aku terima cabaranmu. Maka … hari ini akan menyaksikan perhitungan terakhir … di antara … Dewa Gunung dan Dewa Sungai!”

“Prabhava! Pinang Jingga! Nibung Ulung! Buluh Padu! Persediakan diri dema semua untuk menentang lawan masing-masing!” Adhi Vira menderam garau dengan suara nyaring bernada tegas memerintah.

Maka demikianlah berakhirnya peperangan dengan lima pusingan tempur satu lawan satu. Atas permintaan Biduk Bota dan saki baki angkatannya yang patah riuk terkena penangan Angkatan Dharmakusuma.

Mula-mula sekali Buluh Padu memburai tali perut lawannya berserta segala isinya dengan rembatan kerambitnya. Kemudian Nibung Ulung menebuk dada musuhnya dan menusuk jantungnya dengan keris tajung peninggalan datuknya. Seterusnya Pinang Jingga memenggal putus kepala Kebo Laro dengan libasan kelewangnya ketika dia menerpa liar hendak meradak perut Pinang Jingga dengan goloknya.

Demak Sawo pula menemui ajalnya di tangan Prabhava. Betisnya diperangkap oleh Prabhava ketika dia membuat sepakan libas ke arah muka Prabhava. Tubuhnya lalu dijulang tinggi oleh Prabhava, kemudian dihempap pada lututnya, lantas patah remuk tulang belakangnya. Ketika dia masih meraung kesakitan, Prabhava memaut dan memulas kepalanya lalu mematahkan tengkuknya, lantas segera menamatkan deritanya.

Kini tiba waktunya bagi pertarungan terakhir. Pertarungan yang dinanti-nanti di antara Dewa Gunung dan Dewa Sungai. Biduk Bota tinggi besar kerangkanya, memang bersesuaian dengan namanya. Adhi Vira pula, sungguhpun cukup sasa susuk tubuhnya sederhana sahaja tingginya.

Biduk Bota melangkah begitu yakin lagi megah ke tengah gelanggang. Khalayak yang memerhati bersiul dan bertempik, rata-rata mengejek dan mencemuhnya. Adhi Vira bergerak mengerel mengelilingi Biduk Bota seketika, kemudian menerpa menikam kelewangnya ke perut lawannya itu.

Namun Biduk Bota agak pantas dan menangkis tikamannya dengan mudah, berpusing tubuh sekaligus merembat golok panjangnya ke arah kepala Adhi Vira, memaksa Adhi Vira melompat pantas ke belakang untuk mengelak. Boleh tahan juga permainannya si mawas ini, fikir Adhi Vira. Khalayak kini bersorak kagum pula dengan kehandalan kedua petarung.

Seorang daripada kalangan khalayak mula memukul gendang. Sahabatnya pula memalu rebana. Manakala seorang lagi meniup serunai. Maka betambahlah lagi rancak, hangat dan gamatnya suasana. 

Bertempik lantang, Biduk Bota mengangkat goloknya tinggi ke udara sambil menerkam ke hadapan lantas menetak ke bawah. Di detik terakhir Adhi Vira mengelak ke sisi lalu menebas kelewangnya ke batang tubuh Biduk Bota. Pembesar itu masih tangkas dan menghadang dengan goloknya, langsung merembat ke leher Adhi Vira. Sekali lagi Adhi Vira melompat undur untuk mengelak.

Adhi Vira mula melantun-lantun, ke depan dan ke belakang, ke kiri dan ke kanan, kemudian bergerak mengerel lagi. Pergerakannya semakin lincah dan kerap berubah-ubah, maka semakin sukar dijangka. Sekali sekala dia membuat tendangan menyebat gaya cemeti ke kaki, batang tubuh, tengkuk atau muka Biduk Bota, membuat lawannya itu semakin lama semakin bertambah berang.

Biduk Bota melibas menyilang dengan goloknya, dihadang menyilang juga oleh Adhi Vira dengan kelewangnya. Ketika kedua bilah senjata saling terkunci seketika, Adhi Vira melayangkan tendangan libas kaki kanan ke muka Biduk Bota, mengena rahang kirinya, membuatnya terpinga-pinga dan huyung-hayang sejenak.

§
Sepenanak nasi berlalu. Tarung senjata di antara Biduk Bota dan Adhi Vira masih tidak memberi sebarang keputusan muktamad. Hanya mengakibatkan cedera ringan berupa luka calar dan carik robek di seluruh tubuh masing-masing. Kedua petarung sama lincah dan sama tangkas, keduanya menagih kemenangan dan keduanya berpeluh basah kuyup serta mula tercungap-cungap. Lalu kedua mereka bersetuju untuk berhenti rehat mengambil nafas sebentar.

Biduk Bota bukanlah calang-calang pahlawan. Dia terkenal sebagai seorang pendekar hebat semasa di Palembang, tidak pernah tewas dalam sebarang pertandingan tempur, sama ada bersenjata atau tanpa senjata. Dia mengamati Adhi Vira, mengukur dan menyukat kemampuan lawannya itu lagi. Gagahku jauh melebihinya, fikir Biduk Bota.

"Kita bertarung tanpa senjata pula," Biduk Bota merenung lawannya.

"Aku terima," jawab Adhi Vira. "Dengan syarat, kali ini, kita bertarung hingga ke kesudahannya."

Lalu mereka sambung bertarung, kali ini hanya bersenjatakan tangan, kaki, siku, lutut dan kepala. Akhirnya, Biduk Bota digodam teruk oleh Adhi Vira. Ternyata Biduk Bota bertemu buku dengan ruas. Dia lembik lesu, bengkak mencobong seluruh mukanya, lebam hampir tertutup kedua belah matanya, serta patah kaki kirinya, lengan kanannya, bahu kirinya dan beberapa tulang rusuknya.

Biduk Bota merayu-rayu mohon ampun, namun khalayak yang kini berkerumun penuh menonton perlawanan sengit menentang permintaannya sekeras-kerasnya.

“Kandang buaya! Kandang buaya!” mereka bertempik lantang. “Biar hari ini Biduk Bota pula yang menjadi jamuan Jaka Pelara!”

“Tunggu! Sabar dulu!” Adhi Vira cuba menghadang mereka daripada menyempurnakan hasrat buas mereka dan melunaskan dendam kusumat mereka.

Namun, mereka yang puluhan ramainya, yang diruntun rasa geram membuak-buak tidak mungkin terhalangkan lagi. Beberapa orang daripada mereka, Utih dan Uda di antaranya, menjulang tubuh Biduk Bota yang sudah lemah longlai itu lantas menghumbannya ke dalam kandang buayanya sendiri. Agar orang itu merasa sendiri betapa siksa dan ganasnya hukuman yang sering dikenakannya di masa lalu kepada rakyat negeri yang menentang penindasannya.

Maka barulah terasa damai hati dua pahlawan muda, Pinang Jingga dan Nibung Ulung. Dendam kusumat yang sekian lama membakar diri kini terubat juga akhirnya. Sunggguhpun mereka tidak berpeluang melanyak dan membunuh Biduk Bota dengan anggota tubuh mereka sendiri.

Demikianlah, berkat semangat waja hasil hidup getir di desa pergunungan, jiwa sasa akibat berbelas tahun tertindas dan teraniaya, berserta usaha gigih tidak terhingga, enam ratus pejuang pembela akhirnya menumpaskan angkatan penjajah seramai lebih dua ribu lima ratus orang yang cukup lengkap bersenjata.

§
Setiap pejuang Angkatan Dharmakusuma kini kelihatan bahagia gembira. Kemenangan gemilang yang diperoleh begitu menceria dan menguja jiwa. Hairannya, Nibung Ulung duduk terlepok sendirian di atas sebongkah tunggul kelapa buruk. Durjanya kelihatan agak muram.

"Nibung, mengapa kamu bermenung begitu? Kamu sepatutnya beriang gembira meraikan kemenangan kita. Ada sesuatu yang mengganggu fikiranmu?"

"Nibung cuma terfikir, Ayah ... andainyalah kita semua kecundang dalam perlawanan satu lawan satu tadi ... bererti Biduk Bota akan terus berkuasa dan bermaharajalela di Bukit Panau ... dan di seluruh Lembah Sungai Kelantan ini. Sungguhpun sepatutnya pihak kita sudah menghapuskannya."

"Ohh ... itu yang menggugat jiwamu rupanya. Kamu ni ... memang selalu terlalu banyak berfikir. Sebenarnya ... Ayah sudah berpesan awal-awal lagi kepada Wawa dan Wangi ... bahawa sekiranya Buluh Padu sebagai pelawan pertama kita kelihatan terancam sengit ... ketiga pasukan Angkatan Dharmakusuma akan segera menyerang dan membunuh setiap saki baki bala tentera Biduk Bota dengan segala kekuatan yang kita miliki. Bermula dengan Biduk Bota sendiri.  Supaya memastikan bahawa hasrat jahat Biduk Bota tidak kesampaian walau sedikitpun ... dan Wangsa Dharmakusuma serta Amdan Negara dapat terus berusaha untuk bangkit kembali."

"Tapi Abang Wawa begitu bersungguh kelihatan wajahnya ... seperti sangat keberatan hendak menerima cabaran Biduk Bota."

"Ia sekadar suatu lakonan, Nibung. Di antara kami telah merancangnya terlebih dahulu."

"Tapi Ayah ... bukankah Ayah sudah memberi janji kepada Biduk Bota ... untuk meneruskan perlawanan itu?"

"Nibung. Janji adalah janji. Ia seharusnya ditepati. Namun Ayah tidak akan keberatan untuk melanggar janji ... lebih-lebih lagi janji kepada seorang musuh sejahat dan sezalim Biduk Bota ... demi membela walau seorang pahlawan sendiri."

"Kalau begitu ... mengapa pula Ayah menerima cabaran Biduk Bota pada mulanya? Memaksa kita semua menyabung nyawa tanpa perlu? Bukankah perbuatan itu membahayakan diri kita semua dengan sia-sia?"

"Tidak. Ia bukan sesuatu yang sia-sia. Ayah mahu memberi peluang kepada dema semua ... untuk menguji dan mempamer kehandalan dema."

"Hanya untuk menguji dan mempamer?"

"Lebih daripada itu, Nibung. Ia juga memperbaik dan mempertingkat kemampuan dan yakin diri dema semua. Demi kesejahteraan Amdan Negara sendiri di hari muka. Bukankah kau sendiri yang pernah mengatakan ... ingin menjadi seorang pahlawan hebat? Maka kehebatan itu tidak mungkin tercipta ... hanya dengan latihan bersama rakan ... ataupun dengan menentang musuh yang sembarangan. Itu sekadar sebagai membina tapak dan asas."

"Habis bagaimana pula?"

"Kehebatan hanya mungkin terjadi secara beransur-ansur ... dengan tempur demi tempur demi tempur ... menentang lawan yang juga hebat. Suatu hari nanti ... jika kau berjaya menjadi seorang pahlawan hebat ... seorang panglima bengis yang disegani ... baru kau akan memahaminya."

"Ummm ... begitu rupanya caranya."

"Mari, Nibung. Haiwan durjana yang telah menganiayai kedua orang tuamu pun sudah terhukum dengan sebaiknya. Mari ikut bersama bergembira dengan rakan-rakan lain. Tidak elok bermuram durja seorang diri ketika orang lain bersuka hati."

"Baik, Ayah."

§
Dua orang gadis kelihatan tergesa-gesa meninggalkan pekarangan Mahligai Gemilang Sakti. Mereka masing-masing menjunjung sebakul barang-barang. Wajah mereka nampak gugup, dan mereka seperti agak cemas dan ketakutan.

"Dema berdua nak kemana tu?" Adhi Vira menyapa.

"Er ... umm ... kami ... kami ... sekadar ingin pergi dari sini ... Tuan," seorang daripada mereka menjawab.

"Habis ... ke manakah gerangan arahnya?"

"Entahlah ... Tuan," ujar yang seorang lagi. "Kami hanya berjalan mengikut kaki. Ke mana kaki membawa ... ke situlah kami menghala. Hendak pulang ke kampung halamanpun ... rasanya ... tiada lagi saudara mara yang sudi menerima."

"Dema orang suruhan Biduk Bota kah?" Kedua gadis itu tunduk memandang tanah ... seperti soalan yang diajukan agak sukar hendak dijawab.

Adhi Vira berfikir sejenak. "Baiklah. Kalau dema tiada tempat tujuan ... teruslah sahaja tinggal di sini bersama kami. Jangkanya ... keluarga hamba ... akan memerlukan bantuan dema berdua ... untuk membantu kami berkemas-kemas dan sebagainya. Itupun kalau dema berdua tidak keberatan."

"Kami berdua ... tidak akan menganggu keselesaan Tuan ... atau menyusahkan Tuan?"

"Oh, tentunya tidak," ujar Adhi Vira. "Tidak sekali-sekali. Mahligai ini terlalu besar untuk anak hamba mengurus dan menjaganya seorang diri. Dia pasti gembira jika dema berdua boleh membantunya."

Dua gadis itu saling toleh menoleh, saling pandang memandang di antara mereka. Wajah mereka seperti lega dan ceria semula.

§
Penduduk seluruh Amdan Negara sebulat suara bersetuju melantik Adhi Vira menjadi Narapati atau Pemerintah Wilayah yang baru. Maka Adhi Vira segera melantik dirinya sendiri sebagai Senapati atau Panglima Agung. Anaknya Kembang Seri Wangi dilantiknya menjadi Timbalan Narapati, manakala menantunya Prabhava menjadi Timbalan Senapati. Pinang Jingga, Nibung Ulung dan Buluh Padu ketiga-tiganya diangkat menjadi Panglima Muda.

Mahligai Gemilang Sakti dinamakan semula dengan nama asalnya, Mahligai Dharmakusuma. Sebaik sahaja menduduki semula istana warisan wangsa itu, yang terlepas daripada genggaman sekian lama, Adhi Vira segera mengutus watikah rasmi demi mempersegar semula hubungan persahabatan dengan Kedah Negara, Gangga Negara, Patani Seri Negara, Terengganu Primula Negara, Pahang Indera Pura dan Gelanggi Ayu.

“Tidakkah kita perlu mengutus watikah serupa kepada Maharaja Chulamani Varma Deva, Ayah?” Prabhava bertanya kepada mertuanya.

“Buat masa ini, tidak perlu. Kita tunggu dan lihat dulu bagaimana tindak tanduk Palembang terhadap kita. Kalau kita terlalu gopoh berutus watikah kepada mereka, kita akan dianggap terlalu lemah dan terlalu gentar kepada mereka. Biar mereka berada dalam keadaan tidak dapat menjangka kekuatan kita. Lagipun, mereka pasti akan mendapat khabar angin tentang peristiwa di sini daripada para pedagang dan saudagar yang menyinggahi Palembang.”

“Habis, apa perancangan lain yang harus kita buat berhubung Palembang, Ayah?”

“Buat persediaan untuk ke sana segera dalam dua pasukan. Secara menyamar dan senyap-senyap. Pasukan Kuda Semberani menyamar sebagai rombongan dagang dari Benggala. Seperti biasa, kau yang mengetuainya, menyamar sebagai juragan Benggala yang membawa beberapa buah kapal dagang. Anggota lain pasukanmu menyamar sebagai anak kapal. Dapatkan lagi seramai mungkin pemuda Benggala untuk mengisi kapal-kapalmu supaya kelihatan lebih meyakinkan.”

“Pasukan yang satu lagi?”

“Nibung Ulung yang akan mengetuainya, dibantu oleh Buluh Padu. Mereka akan menyamar sebagai perantau biasa. Pasukannya akan berpecah-pecah kepada kumpulan kecil dan tiba di Palembang secara berasingan. Hanya pasukanmu yang akan tiba serentak. Kedua pasukan akan membuat intipan dan perisikan terhadap sikap dan gerak geri Palembang terhadap Amdan Negara. Lalu melaporkan kembali segala yang diperoleh kepadaku. Kalau suasananya diyakini selamat, baru nanti ku hantar Pinang Jingga untuk mengetuai rombongan persahabatan ke sana. Itupun dengan pasukanmu dan pasukan Nibung Ulung masih berada di sana, sebagai gerombolan penyelamat, kiranya pasukan Pinang Jingga menghadapi sebarang ancaman luar jangka.”

"Ummm ... bagaimana kalau ... perisikan kita membayangkan ... bahawa Palembang sedang merancang untuk menyerang kita?"

"Kirimkan berita itu segera kepadaku. Kemudian pasukanmu serta pasukan Nibung Ulung kedua-duanya pulang segera ke Amdan Negara. Kita akan buat persediaan untuk menghadapi bala tentera Palembang di sini. Dan dalam perjalanan kamu berdua pulang ke sini ... singgah di Gelanggi Ayu ... dan dapatkan seramai mungkin pahlawan perantau yang sanggup berkhidmat dengan Angkatan Dharmakusuma. Tidak kira apa bangsa mereka ... termasuk pahlawan dari Pulau Jawa, Pulau Berunai serta Pulau Sulawesi ... asal saja mereka boleh memberi janji setia kepada Amdan Negara. Kita akan menilai kesetiaan mereka dengan halus dan rapi kemudiannya."

§        §        §
Keadaan di Palembang ternyata baik dan tidak menunjukkan ada sebarang ancaman. Tiada sebarang tanda atau desas-desus bahawa Palembang akan mengambil sebarang tindakan balas terhadap Amdan Negara. Malah, sesetengah golongan rakyat di sana pula ghairah bercerita tentang kehebatan Angkatan Dharmakusuma menghancurkan bala tentera Biduk Bota di Amdan Negara. Terutamanya kisah lima pahlawan terbaik Amdan Negara menumpaskan lawan mereka daripada kalangan Biduk Bota dan orang-orangnya dalam pertempuran satu lawan satu.

Watikah damai pertama diutus kepada Maharaja Chulamani. Maklumlah, negeri kecil mustahil berlagak gedeber dengan negeri besar. Kecuali jika terdesak ataupun tiada pilihan, barulah harus diusahakan cara lain.

Amdan Negara memangnya tidak sebesar mana;
Mustahil sebanding dengan Palembang Srivijaya;
Seperti kucing dengan Pak Belang Garang;
Bagai murai kerdil dengan Sang Helang Gemilang;
Ibarat kambing mengembik dengan Gajah Berang;
Maka terimalah ufti ini yang tidak sepertinya;
Tanda bersahabat dan berdamai sepanjang masa.

Antara rakyat kami dan rakyat Palembang;
Adalah suku yang sepunca; Bangsa yang bersaudara;
Serumpun, serimbun, seperudu, seibu;
Keduanya adalah Melayu; Bezanya cuma satu;
Kami Melayu Gunung; Dema Melayu Pulau;
Maka, janganlah kita berseteru selamanya;
Agar abadi kita semua sejahtera;

Demikian sebahagian daripada madah isi watikah yang dikirimkan. Begitu merendah diri gayanya. Bertujuan meredakan kemurkaan Maharaja Chulamani jika itu terjadi, dan menjauhkan serangan balas dendam daripadanya. Sekurang-kurangnya sehingga Amdan Negeri sendiri cukup bersedia dan berkemampuan untuk beradu kegagahan dengan Palembang Srivijaya suatu hari nanti.

Sebaik watikah berbalas dengan baik dan sopan bunyi isi kandungannya, Panglima Muda Pinang Jingga, diiringi oleh tiga puluh orang pahlawan terpilih, berkunjung ke Palembang sebagai utusan persahabatan. Membawa bersamanya ufti serta beraneka jenis hadiah dan cendera hati buat membujuk hati maharaja.

“Terutama sekali, jangan kau terlupa,” Adhi Vira berpesan kepada Pinang Jingga. “Katakan kepada Maharaja Chulamani … biarlah Palembang terus menjadi negeri abang … dan biarlah Amdan Negara terus menjadi salah satu daripada adik-adiknya … dan bila-bila sahaja Palembang memerlukan … kiranya terancam oleh sebarang musuh … Amdan Negara sebagai negeri adik … akan membuat pertimbangan … untuk menghantar segerombolan pejuang terhandalnya … untuk membantu sang abang.”

Mujurnya, rombongan Pinang Jingga diterima dan dilayani dengan baik oleh Maharaja Chulamani. Seterusnya, Pinang Jingga membawa pulang hadiah balas daripada Maharaja Chulamani.

Seterusnya, bala tentera Dharmakusuma diperbesar dan diperteguh lagi, serta dipastikan sentiasa dalam keadaan bersiap siaga. Kata orang, malang tidak berbau. Begitu juga, musuh tidak menentu.

§        §        §
Maka demikianlah kisahnya. Putera Adhi Vira, atau Panglima Jati Perkasa, dengan bantuan anaknya Kembang Seri Wangi, menantunya Putera Prabhava dan dua orang anak angkatnya, Pinang Jingga dan Nibung Ulung, akhirnya berjaya merampas kembali Mahligai Dharmakusuma. Bangunan istana lambang warisan Wangsa Dharmakusuma sebagai raja negeri Amdan Negara sejak turun temurun di Bukit Panau. Merampasnya kembali daripada tangan kerabat penjajah yang bersekongkol dengan gerombolan lanun, penyangak dan penyamun.

Namun begitu, bala tentera Wangsa Dharmakusuma pimpinan Adhi Vira belum cukup perkasa untuk mengisytiharkan kemerdekaan sepenuhnya bagi bumi Amdan Negara daripada pertuanan kerajaan Palembang Srivijaya. Maka Adhi Vira, selaku Pembesar baru yang memang lebih berhak ke atas Amdan Negara, terus menerus menghantar bayaran ufti setiap tahun kepada Palembang sebagai tanda akuan pertuanan. Begitupun, rakyat jelata rata-rata terus memegang harapan bahawa suatu masa nanti di hari muka akan muncul kesempatan gemilang untuk sesuatu seperti itu tercipta.

Chulamani Varma Deva, maharaja Palembang Srivijaya, rupa-rupanya tidak begitu ambil kisah. Baginya, Biduk Bota cuma saudara bau-bau bacang dengannya. Bukannya dia dilantik secara rasmi oleh baginda menjadi Pembesar bagi Amdan Negara. Hanya Biduk Bota yang pandai-pandai melantik dirinya sendiri. Lagipun, Biduk Bota sering menimbulkan masalah kepada Palembang. Dia terlalu tamak haloba terhadap kekayaan harta benda, mengutip cukai yang tinggi keterlaluan daripada penduduk.

Dia juga gemar bersekongkol dengan gerombolan lanun, perompak dan penyamun yang memberikannya sebahagian harta rampasan mereka sebagai habuan. Selain itu, dia dan konco-konconya sering mengganggu wanita, baik anak gadis mahupun isteri orang, di wilayah yang dikuasainya demi melayani tuntutan nafsu mereka. Lalu semua itu mencetus kebencian penduduk tempatan terhadap mereka.

Yang lebih penting lagi, bagi Chulamani sebagai seorang raja besar, sesiapa yang menjadi Pembesar sebarang wilayah takluknya harus mendapat sokongan padu rakyat tempatan. Di samping tunduk kepada kekuasaannya serta tidak mencabar pertuanannya. Maka bagi Chulamani, lebih sesuai jika seorang pewaris Wangsa Dharmakusuma yang bertokoh lagi berwibawa memimpin Amdan Negara sebagai Pembesar. Kerana ia akan membuat wilayah itu lebih aman damai dan makmur sentosa, maka akan lebih menguntungkan lagi kepada seluruh persekutuan Palembang Srivijaya.

Sementelah pula Palembang kini berseteru berpanjangan dengan Mataram. Raja Mataram, Dharmavamsa Teguh Ananta Vikrama Deva, seolah-olah masih menyimpan dendam kusumat yang tak kunjung padam terhadap Palembang. Sungguhpun semua bekas wilayah milik kerajaan Sailendra telah dirampas oleh nenek moyang baginda, bermula di zaman Rakai Pikatan, namun keghairahannya untuk memperluas wilayah dan mengembangkan kuasa seakan tak kunjung reda. Seperti ada pihak lain yang dalam senyap-senyap sentiasa mengadu domba. Maka Chulamani kini memerlukan segala kekuatan yang ada padanya untuk menentang dan menangkis sebarang ancaman yang mungkin timbul dari arah Mataram.

Chulamani cuba melaporkan tentang serangan-serangan Mataram ke atas wilayahnya kepada Maharaja Tai Zong, maharaja baru kerajaan Song. Baginda berharapan maharaja itu dapat membantu mengusahakan penyelesaian terhadap sengketa di antara Palembang dan Mataram. Anehnya, didengarinya pula bahawa pihak Mataram juga membuat laporan hampir serupa tentang sengketa mereka dengan Palembang, tetapi mereka tidak memberitahu maharaja itu bahawa pihak merekalah yang menyerang Palembang.

Di samping itu, Chulamani juga perlu memantau perkembangan siasah di negeri-negeri lain yang lebih besar dan terletak lebih jauh di utara, di tanah besar Suvarna Bhumi. Maharaja Jayavarman, maharaja Kemboja Negara, sudah agak lewat usianya. Maka pelbagai putera kerabat bercita-cita besar dari serata negeri, yang menganggap diri sebagai bakal pewaris takhta, masing-masing dengan gelagat dan perancangan sulit, semuanya mengidam untuk memiliki mahkota negeri apabila wujud kekosongan takhta di hari muka.

Lalu sebarang tempias daripada gejolak itu berkemungkinan menjejas keutuhan dan kemantapan negeri-negeri takluk Palembang Srivijaya di bahagian utara Semenanjung Emas yang agak berhampiran dengannya, seperti Kedah Negara dan Patani Seri Negara. Juga Negara Seri Dharmaraja yang rajanya, Raja Sujita yang bersemayam di kota Tambra Lingga, adalah saudara sebapa dengan Maharaja Chulamani, maka punya pertalian darah yang rapat dengan Palembang Srivijaya. Sementara ibu Sujita pula adalah adinda kepada Maharaja Jayavarman, lantas melayakkan dirinya juga sebagai bakal pewaris takhta Kemboja Negara.

Manakala ke arah utara Pulau Sumatra pula, negeri-negeri Perlak dan Samudera Pasai sedang naik daun dengan bersemaraknya suatu ajaran baru. Ajaran bernama Islam, dibawa oleh saudagar Arab dan Parsi dari Rantau Barat, yang seperti begitu memperkasa yakin diri raja mahupun rakyat disana, hingga mereka kini mula berani mencabar pengaruh serta pertuanan Palembang ke atas negeri mereka.

Sungguhpun sudah dua tahun Maharaja Chulamani menakluki negeri-negeri itu lantas menjadikannya negeri bawahan Palembang Srivijaya, itu bermakna Chulamani terpaksa memperuntukkan sepasukan besar pahlawan Palembang untuk mengekang sebarang penentangan atau pemberontakan menuntut merdeka daripada berlaku di sana. Tambah pula, tanpa terduga, penaklukan Palembang ke atas Perlak malah mendorong dua bahagian negeri Perlak yang telah berpecah dua menjadi Perlak Pedalaman dan Perlak Pesisir bergabung semula menjadi satu di bawah pimpinan raja wilayah Perlak Pedalaman, iaitu Sultan Makhdum Alaiddin Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat.

Lalu hasrat Adhi Vira sekian lamapun tercapailah kini. Pelbagai masalah lain yang lebih meruncing membuat pihak Palembang tidak begitu berselera untuk ambil kisah dengan terlalu terperinci terhadap apa yang berlaku di Amdan Negara.

Maka Mahligai Dharmakusuma, lambang kemegahan Wangsa Dharmakusuma sejak zaman berzaman, beralih semula kepada pemiliknya yang asal. Wangsa Dharmakusuma dengan itu bangkit kembali, teguh berdiri, gagah mandiri. Bak kata orang, sirih pulang ke tampuk, pinang pulang ke gagang.

§        §        §

No comments:

Post a Comment